Sabtu, 13 Ogos 2011

Matlamat Tak Menghalalkan Cara

entri ku tulis sebagai pencerahan kepada cara otak aku,kau dan kawan-kawanku berfikir.

DUIT.
sapa tak suka duit angkat tangan!
aku tak tahu manakah manusia yang tak suka duit.duit sangat bererti untuk kelangsungan hidup kita. sejak sistem barter dilupuskan dan diganti dengan sistem mata wang, manusia didapati amat bergantung kepada duit. betul, DUIT BUKAN SEGALANYA. TAPI HAMPIR SEGALANYA MEMERLUKAN DUIT..

kalau kita tak ada duit itu namanya miskin. kalau sangat tak cukup duit, lebih daripada miskin, itu namanya fakir. minta dijauhkan oleh Allah kita ini dari kefakiran kerana kefakiran itu menghampirkan kita dengan kekufuran.silap-silap boleh hilang iman, akidah akibat tak ada duit.kawan, kau tak perlu persoalkan kepada aku betulkah statement ini.sebagai orang yang pernah termasuk dalam asnaf yang 8 penerima zakat (sepatutnya) aku tahu apa rasanya. jangan bicara soal hidup kalau perut kau dililit lapar.tak perlu berfalsafah panjang berjela kalau dompet kau seposen pun tiada. 

tapi yang bagusnya, dengan tak ada duit itu kita akan jadi kuat, kreatif dan rajin cari ikhtiar untuk penuhkan duit dalam poket kita. kalau yang pemalas cari kerja, dia akan mencuri. kalau suka menipu, dia akan buat skim cepat kaya. kalau yang salah konsep, dia tadah tangan saja minta kat Tuhan tapi tak buat sedikit pun usaha kemudian marah-marah kerana doanya tak dimakbulkan.macam-macam cara manusia nak dapatkan duit.

kawan, dulu aku kata ada satu hal yang taboo untuk aku bicarakan ketika bergaul dengan orang-orang. hal pendirian politik. dunia boleh terbalik, muka jadi cuka,kasih sayang jadi racun berbisa.semuanya kerana politik itu satu yang mendasari hati dan keyakinan. kita bermati-matian mempertahankan kepercayaan sampai tahap haqqul yakin.

rupanya ada satu lagi perkara taboo. tentang cara cari duit. bila perkara ini dibahaskan, adalah pro dan kontranya. pertikaian tentang boleh atau tidak, halal atau haram, semuanya boleh bikin kepala jadi gila.kawan, kalau aku bicara tentang hal bagaimana kita harus cari kekayaan tanpa melanggar hukum Tuhan, janganlah kau anggap aku hasad dengki dan cemburu buta dengan keuntunganmu yang kau raih sekian-sekian juta.kalau kau rasa aku cemburu dengan rumah tiang romanmu, kereta bugati veyronmu, macbook tercanggihmu,set vantage pinggan mangkukmu, sofa itali yang melingkar di ruang tamumu..nyata kau belum kenal aku kawan.

bohong kalau aku tak terdetik ingin kaya raya seperti itu,, aku ini manusia ,bukan malaikat yang tak punya nafsu. aku ingin, berkehendak, berhasrat, suka dan mahu dengan hiasan dunia itu. sebagai pelengkap hidupku di dunia ini. yang lazimnya kita menjadi gembira bila mendapatnya.takkan aku tak suka berumah cantik, kereta mewah dan duit juta-juta.

dan untuk mendapatkan itu semua, kita perlu kerja, kita perlu usaha. itu sunatullah. walaupun Tuhan boleh saja sekarang ini dengan tak semena-mena mengutuskan malaikat untuk mencampakkan duit 74 juta di depanku,tapi Tuhan mahu kita berusaha dengan sunatullah. yang telah ditetapkan, kita berusaha sekuatnya, rezeki itu datang dengan izinNya.

maka kita berusaha mencari rezeki,duit dengan macam-macam cara.ha, di sinilah mulanya asas perbincangan kita tadi. BAGAIMANA NAK CARI DUIT.adakah matlamat kita cari duit itu justeru menghalalkan APA SAJA cara atau perlu kita bergerak di landasan yang benar.

kawan, kenapa Tuhan beri kita nafsu.kerana kita perlu jadi manusia yang berkeinginan. tapi Tuhan yang Maha bijaksana menyertakan juga kita dengan akal, supaya kita berfikir.dengan akallah kita dapat memartabatkan diri dari tergolong sama level dengan ayam, kambing dan lembu.maksudnya, Tuhan tak larang kita cari harta, cari duit, tapi dalam proses mencari itu, kita kena fikir halal atau haram. .kita perlu ikut apa Tuhan suruh dalam mengamalkan aktiviti seharian dari masuk tandas sampai cari duit untuk makanan anak , isteri dan seisi keluarga kita.
kawan, takutlah dengan amaran Tuhan,jika kita sampai memakan dari sumber yang haram
Nabi -Shallallahu ‘alaihi wasallam- pernah bersabda:
أَيُّمَا لَحْمٍ نَبَتَ مِنَ الْحَرَامِ فَالنَّارُ أَوْلَى لَهُ
Daging mana saja yang tumbuh dari sesuatu yang haram maka neraka lebih pantas untuknya”.

Makanan yang haram dalam Islam ada dua jenis:
1. Ada yang diharamkan kerana dzatnya. Maksudnya asal dari makanan tersebut memang sudah haram, seperti: bangkai, darah, babi, anjing, arak, dan selainnya.

2. Ada yang diharamkan karena suatu sebab yang tidak berhubungan dengan dzatnya. Maksudnya asal makanannya adalah halal, akan tetapi dia menjadi haram kerana adanya sebab yang tidak berkaitan dengan makanan tersebut. Misalnya: makanan dari hasil mencuri, merompak,pelacuran,penipuan,penganiayaan,perdukunan dan sebagainya.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
kita ini manusia akhir zaman, yang ramai seperti lebah tapi rapuh bagai air buih di lautan.kita diasak dengan pelbagai fitnah dunia.hiburan melampau,gejala sosial,keganasan, remaja yang kian rosak, anak derhaka,jiran yang menyakitkan hati sebab tak tahu buang sampah dengan betul sampai kotor habis belakang rumah kita, anjing yang menyalak pagi petang siang malam,trafik jam...hm...panjang betul senarai fitnah dunia kan kawan.

kawan, kau ada anak-anak. ini nasihat aku. berilah anakmu makan dengan hasil yang halal. sesikit manapun, berbanggalah kerana menyuap anakmu dengan sumber yang halal.biar tanganmu kasar, kukumu pecah, keringatmu membasah, tenagamu melelah, demi sesuap nasi kawan, itulah yang menjadi saksi di akhirat nanti betapa mereka semua mengaku di depan Rabbul Jalil betapa tabahnya engkau berjihad memberi nafas kepada anak-anakmu.
aku ini mendepani remaja sudah hampir 14 tahun. seakan dapat kutelah , setiap pelajar yang bermasalah pasti asas masalah itu dari rumah. dari kita, golongan ibu bapa ini! sama ada mereka tidak tahu anak memakan makanan yang haram, atau ibu-bapa memberi makan dari duit yang haram! jadilah mereka insan yang sungguh kasihan aku melihatnya. hilang punca, hilang ghairah belajar, pemarah, tiada adab, berhati keras dan mati dan berupaya menjadikan gurunya mendapat darah tinggi. aku tidak menduga-duga kawan, aku bertanya dan memang itulah puncanya.

soalnya, mahukah kau anak-anakmu membesar seperti itu?kau tak nampak sekarang sebab anakmu masih kecil. tapi tunggulah bila mereka mulai remaja nanti. hati kau boleh terluka seperti hatiku ini setiap hari.bagaimana rasanya bila nasihatmu tak dipedulikan, kata-katamu disambut dengan sindiran, anakmu dalam kelas terjerit-jerit dan tak dapat kawal perasaan.sedikit saja perbalahan mesti berlaku pergaduhan.kata-kata kesat jadi mainan. kawan, sepanjang aku bersekolah dari sksb, smpb hingga smb, aku tak pernah ketemu dengan remaja yang berperangai seperti apa aku hadapi sekarang. tak pernah kawan, tak pernah. dan itu kurasa kerana ayah ibu kita dulu mencari sumber yang halal untuk kita, dengan tulang 4 keratnya yang dibanting sehabis nyawa. 

tapi kawan, tergamakkah kau memecah tradisi suci yang emak ayah kita terapkan dalam membesarkan kita. kau besarkan cucu mereka dengan kemewahan tapi entah apa status halal haramnya.pertama ,kasihanlah dirimu sendiri ketika kau ditanya Allah tentang apa perbuatanmu di dunia dalam membesarkan anak-anak amanahNya itu.apakah cukup kau ajari dia tentang ilmu dunia dan akhirat, benarkah punca duit kau itu sumbernya halal, sudahkah kau berusaha mencari ilmu untuk mengetahui benarkah jalannya kau mencari rezeki itu. kedua, kasihanilah anak-anakmu yang dibakar dagingnya dalam neraka yang bernyala-nyala walhal dia tak mengetahui makanan yang diberi oleh ayah dan ibunya entah dari mana asalnya. ketiga, kasihanilah ibu ayahmu dan guru-gurumu yang menunjuk jalan agar menjalani hidup yang benar tapi kau kecewakan mereka gara-gara kau malas mencari ilmu apa yang halal dan apa yang haram.

kawan, perkahwinan itu perkongsian. kalau boleh, pasangan kita ini biarlah kekal sampai ke syurga.untuk ke syurga, jalannya tak mudah, tak juga terlalu susah. kalau kau seorang isteri, kau perlu ingatkan suami kau agar betulkan niat waktu keluar bekerja,kerana Allah. kau pujilah suamimu yang balik keletihan seharian mencari nafkah,dengan kudratnya itu sekiranya dia jujur dalam kerjanya dan membawa makanan yang halal sumbernya untuk menghidupi kau sekeluarga. perginya suamimu itu jihad, nyatakan kebangganmu sebab dia memilih jalan yang benar dalam mencari rezeki.
tegurlah jika dia berbuat usaha tambahan mencari wang tapi jalannya meragukan, sama-sama mengingatkan hidup bukan sekadar dunia, tapi akhirat sama.
kawan, pernah kau dengar jatuh bangunnya seorang lelaki adalah berpunca dari seorang wanita di belakangnya.

kalau kau kasihan dan cinta suamimu, jangan meminta di luar kemampuannya. pejamkan saja mata kalau jiranmu mula menukar sofa dan langsir sempena hari raya sedangkan kau terpaksa recyicle saja apa yang ada. jangan meminta gelang emas sampai ke siku kalau suamimu tak mampu, jangan minta dibelikan baju fesyen terbaru atau set arcopal untuk jamu tetamu. bila kepalanya pening memikir nak penuhi nafsu duniamu, itulah puncanya dia akan pecah amanah, menipu, mencuri atau cari sumber kewangan dengan jalan tak diredhai. ingat,ketika itu kaulah wanita di sebalik kejatuhan lelaki.

kalau kau seorang lelaki, ingatlah, segala isi rumah itu ke syurga atau ke neraka semuanya tergantung kamu. kalau mereka semua kau beri makan dari sumber yang haram, sekeluargalah kau masuk ke neraka, itu janji Tuhan, setiap daging yang tumbuh dari makanan haram, api nerakalah yang layak untuknya.tergamakkah kau membayangkan isteri yang kau cintai, anak yang kau sayangi terjerit-jerit kepanasan sebelum rentung dalam pembakaran. penyesalan ketika itu tiada gunanya kawan, tiada gunanya.jadilah lelaki yang berwibawa, kerahlah tulang empat keratmu dan akal fikiranmu untuk terus berusaha dengan rezeki yang halal. jangan kau rasa setiap titis peluhmu itu sia-sia, dia akan menjadi saksi nanti betapa kau berusaha sehabis daya mencari yang halal untuk keluargamu. bukan main bangganya kau kawan, bersaksikan seluruh umat manusia dari bapa kita adam hingga manusia terakhir hidup di bumi ini masa dalam layar besar di masyhar nanti. lihatlah, itulah lelaki yang berusaha keras mencari rezeki yang halal walau sesusah manapun dia..bangganya perasaan andai lelaki itu adalah engkau sendiri!

kawan, ingin aku coretkan pengalaman sendiri betapa besarnya dugaan hidupku demi mencari harta dan duit yang halal. semakin dielak, semakin banyak datangnya. kadang tewas, kadang menang. kawan, aku rasa pengalaman itu akan berguna untuk kita saling mengingati .nanti akan jelaslah di fikiranmu kenapa aku memohon padamu, demi kebahagiaanmu sendiri, carilah yang halal dalam usahamu menambah rezeki.insha Allah, esok andai ada kelapangan , aku tunaikan ikrarku ini.

2 comments:

siti azizah Sang Pencinta berkata...

insyallah sama-sama kita berdoa semoga terhindar dari kesesatan. kita sebarkan kpd mereka di luar sana. harapannya mrk faham apa yg ko cuba sampaikan

Comels berkata...

mudah-mudahan faham. aku mengingatkan diri sendiri sebenarnya supaya sentiasa berjaga -jaga dengan tipudaya dunia. rasanya tulisan aku tak berlapis-lapis, direct to point aje,bukan susah nak difahami pun.

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com