Khamis, 20 Oktober 2011

Penanda Buku (2):Man JAdda wajada

8/10/2011.sabtu

minggu lepas minggu keusahawanan di sekolah aku, STARP. ikut hati malas nak buka gerai, tapi mengenangkan ikrar sendiri yang tak mahu lupa diri bila dah tak berapa susah ni, ditambah pula semangat fatin, zu dan beberapa anak buah yang berkobar-kobar  betul nak belajar berniaga, akhirnya aku memutuskan ambil juga gerai. sebab aku orang terawal, kak zehan bagi gerai baik punya.nombor 1!

                                           bersama YB Bukit Batu yg beli 10 bookmark angrybird untuk anak beliau, Pn Pengetua ,Pn PK  dan YDP PIBG yg singgah ke gerai comels.

selalunya kalau hari usahawan begitu, orang melayu terutamanya asyik nak jual makanan, makanan dan makanan. ada 24 gerai, semua nak jual makanan. aku malas dengan klise itu.lagipun aku tak pandai sangat bab masak-masak ni. tak rajin pun ia juga.

jadi, aku juallah apa yang aku minat dan suka serta pandai membuatnya.aku jual lukisan dan penanda buku.letih juga nak menyiapkan beratus-ratus penanda buku dan lukisan,sambil pula menanda kertas jawapan spm.tapi kalau hati dah suka.....

sebenarnya niat aku selain menajamkan kreativiti, yang penting aku dapat menyebarkan kata-kata motivasi kat bookmark tu. manusia ni perlu diingat-ingatkan selalu, memang tahu tapi selalunya lupa. jadi, mudah-mudahan memberi manfaat untuk aku dan mereka semua.

mulanya aku takut nak jual benda lain daripada orang lain. tapi kalau tak cuba mana kita tahu kan. kelebihannya, walaupun mungkin tak habis terjual tapi simpan 3-4 tahun pun tak basi.

untuk kepelbagaian, aku tanya budak, apa ye yang budak-budak suka kalau digambarkan?mamat jawab, cuba cikgu jual angry bird dan Domo. memang, bookmark yang paling cepat habis ialah angry bird .
 yang hitam,kuning dan biru tu bookmark angry bird. ada 44 keping,
semua habis dalam masa yang cepat sekali.
musim angry bird mengawan sekarang ni...

ada parents yang cerita balik kat aku bahawa anaknya bergaduh sebab nakkan book mark angry bird tapi maknya beli satu je. yang satu lagi gambar lain. parent tu kata `i beli untuk mereka tengok seni kata motivasinya, tapi mereka nakkan gambarnya!`..heh..budak. tengah gila-gila sekarang musim angry bird .apa benda game pun aku tak tahu. kalau kita rajin kaji trend semasa dan sedikit kreatif, kita akan dapat untung 5-6 kali ganda. contohnya, untuk model angry bird punya bookmark sahaja aku boleh dapat hampir Rm50 bagi modal yang tak sampai Rm10!modalnya cuma sticker, kertas,pen dan idea.....................................


....................................................
aku sambung entri yang terbengkalai ni setelah 12 hari aku tinggalkan.
sekarang pukul 12.13 tengah malam, khamis, 20 /10/2011.

Terima kasih Allah, memberikan aku perjalanan hidup yang berwarna warni, yang menjadikannya sangat berisi dengan cerita suka dan duka. sungguh, segala kejadian sama ada baik atau buruk mempunyai hikmah yang tak terkira banyaknya. paling penting walaupun ada sebahagian kenangan itu amat menyakitkan ia menjadi ubat yang begitu melegakan jiwa setelah kita berjaya melepasinya.

aku mengalami kesan spritual yang tak dapat aku gambarkan kepadamu kawan, cuma aku boleh bercerita bahawa setiap kesakitan yang aku tempuh dulu membentuk siapa aku sekarang. empatiku melimpah ruah melihat kesusahan orang lain. bila aku terpandang orang tua yang masih gigih bekerja mencuci tandas, merumput kebun atau menyapu jalan ,aku terkenang jerih payah ibu ayahku. melihat mak minah atau mak teh membancuh air dan memasak di kantin, terkenang kak long yang dulu pernah bekerja di kantin kilang dari pagi sampai malam. terpandang ibu-ibu setengah baya baru pulang kerja dari kilang bila aku memandu pagi-pagi ke sekolah, teringat kak roha yang siang malam berhempas pulas mencari rezeki sebagai ibu tunggal.

inilah mak teh dan mak minah yg setia memasak untuk kami setiap pagi, cikgu yang kelaparan.

begitu banyak perkaitan hidup semua orang yang memberi kesan padaku. sebab itu aku tak tergamak marah-marah kalau mak teh lupa bancuh air sebab terlalu sibuk, aku ke dapur buat sendiri. aku tak gamak lalu sebelah kakak cleaner tanpa menyapa atau sekurangnya tersenyum kerana mereka juga ibu dan kakak kepada keluarga di rumah. aku tak lepas mendoakan ibu ayahku setiap kali terpandang orang tua yang masih bekerja pada usia patut berehat di rumah kerana kejerihan yang sama pasti tertanggung di pundak orang tuaku masa mereka bekerja menghidupiku.

Tuhan, aku punya empati.cuma aku masih seorang penyimpan. aku simpan dalam-dalam semua itu di lubuk hati. hanya kau kawan, yang setia membaca tulisanku ini yang tahu hati ini bagaimana. aku jarang mengungkapkan perasaan ketika berbicara kerana aku rasa lebih selesa menutupi sebahagian perasaanku di khalayak. kawan, kau kukira lebih mengenali aku kiranya kau setia membaca tulisanku. aku lebih dekat denganmu kawan,melalui bicara hati ini. dan biarkanlah begitu. aku sukainya.

malam ini kulihat sudah 14958 kali blog aku dikunjungi.aku sangat berbesar hati dan terharu kawan atas kesudianmu berkongsi rasa di sini. sebab itu aku sedaya mungkin menulis sesuatu yang bermanfaat untuk kau ambil,agar kau tidak sia-sia bila datang ke mari dan aku tidak menghabiskan masa dengan sia-sia menulis sampah. sebab itu kawan, bersabarlah kalau aku lambat menulis. aku menunggu rasa yang sesuai, isu yang sesuai.

kawan, rupanya Allah mencanai aku sebagai insan seni terutama bidang lukisan dengan perjalanan yang sangat hebat. melukis bukan senang tapi tidak juga terlalu susah. ia sama saja dengan apa juga pekerjaan di dunia ini. kalau kau buat sesuatu dengan cinta, hasilnya memang sangat baik.memang bakat itu penting, tapi kemahuan, motivasi dan keadaan yang `memaksa` kita mengoptimumkan bakat itu juga main peranan yang besar.

aku bersyukur kini kerana Allah mengujiku dengan kesempitan yang sangat sulit digambarkan ketika aku menyambung pengajian di UiTM dahulu. macamana ye sempitnya?em,contohnya dalam seminggu, 3 hari itu dompetku ada RM1 atau 2 sahaja. macamana aku survive?
aku ambil tempahan melukis artwork kawan-kawan.kadang ada sesetengah gambar yang tak sanggup mereka lukis untuk folio. contohnya Kak Nisa, dia geli nak lukis ular sawa tapi suka ambil gambarnya untuk jadi subject matter. maka akulah yang melukiskannya. kak step kadang terlalu letih nak buat gambar burung atau apa, aku lah yang ambil upahnya,kak eli terlalu banyak kerja lain nak disiapkan, akulah ambil upah untuk lukis folionya yang lain. jadi skill aku bertambah baik dari semasa ke semasa.

......................

mana cerita penanda buku nih?  em...sambung esok. dah dekat pukul 1 pagi. esok kerja. jumpa lagi...

zzzzzzzzzzzz.


...................................................................

sambung lagi.
4.31 petang. khamis,20/10/2011
aku jenguk pengunjung blog,wow, tepat angka 15000..terima kasih kawan kerana sudi berziarah ke rumahku  ini.

ramai orang tak berlaku adil padaku bila mengandaikan aku dikurnai Allah dengan kepandaian melukis ,mudah dan sangat bertuah. kawan, aku bersyukur Allah memberiku kelebihan.bakat.tapi ia tidak akan berfungsi kalau aku pendamkannya, tidak manfaatkannya. dan aku bukan lahir-lahir terus pandai melukis, perjalananku panjang kawan. aku cenderung melukis sejak kecil. dulu, aku selalu koyakkan buku kak roha atau kak imah atau kak siti di tengah-tengah supaya mereka tak perasan kertas kosong dah tinggal sedikit. dengan kertas itu, masa mereka semua ke sekolah aku akan menekap gambar dari buku teks dan lukis apa saja aku suka.sampai ke sekolah, perkara yang buat aku tak penat ialah melukis. masa aku koyak buku tulis itu, aku nyanyi kuat-kuat supaya mak tak dengar bunyi koyakan kertas.ada juga faedahnya, sekarang suara aku kuat betul kalau dalam kelas.jiwa boleh kacau dengar aku berkicau...kadang aku nampak budak mula tekap-telinga dengan tangan bila aku mula berleter terutama bab sanggul punuk unta.dalam hati mungkin mereka kata `eiii,cikgu ni ajar BM ke agama?`..em..aku tak peduli.

kemuncaknya masa tingkatan 6, cikgu ekonomi marah-marah dengan aku sebab aku asyik pergi bengkel lukisan cikgu Roslan, mantan guru yg mengajarku di SMB. Masih ku ingat dialog cikgu Normalia yang manis tu  `kalau kamu nak sangat ambil lukisan, pergilah, tak payah ambil ekonomi.`
bagai mengantuk di sorong bantal,aku berlari-lari ke bengkel lukisan. aku belajar melukis di situ. di situlah berputiknya minat aku yg mendalam pada subject matter udang galah, kerana ku lihat ada sebuah lukisan cat air 2 ekor udang galah yang sungguh hidup.beberapa hari kemudian, cikgu Normalia panik bila mengetahui kedegilanku untuk buang subjek ekonomi dan ambil seni. dia sangka aku merajuk. pengetua pun sampai panggil aku ke biliknya bertanyakan muktamadkah keputusanku.

buat cikgu Normalia yang manis, cikgu, janganlah cikgu sedih, saya bukan tak suka cikgu atau subjek itu atau merajuk. tapi  dah memang saya sangat suka seni, saya tak kisah ambil seni dan tak sehebat kawan-kawan saya yg lain dengan pakej ekonominya.
aku tetap dengan keputusanku kerana aku ikut saja gerak hati. walhal aku tak tahu pun apa yang aku cita-citakan selepas itu, tapi aku mengambilnya dengan sepenuh hati.
bila keputusan diumumkan, aku dapat  c untuk lukisan dan satu lagi subjek kesukaanku, sejarah.em, oklah tu, kira pandai lah juga kan sebab STPM..heh..
...................................................................
.........Jijah:Ya Tuhan..mana cerita bookmarknya?
Ita.............:entah,cepat la...tapi best juga nostalgia form 6 tu eh..
suzen:aku dulu budak SMB juga. lagi pandai dari korang sebab aku budak sains..
ita dan jijah:huh...
aku:er,aku buat part 3 la, panjang sangat entri ni muntah pulak kau nak membacanya..tunggu..

Rabu, 19 Oktober 2011

Kita Tak Sentiasa Betul

kalau kawan semua seorang yang bekerjaya (selain Pn Rita-dia tokey sendiri) semua punya majikan,atau bos kan. dan adatlah, bila kita staf biasa, kita perlu dengar cakap bos.

tapi ada ketikanya aku fikir bos pun kena dengar pendapat staf. kerana staf yang menggerakkan segala perintah, bos pula hanya memerintah. yang mendepani kerenahnya, staf. yang tahu perjalanannya, staf. yang semakin pakar dan semakin faham liku-liku sesuatu projek itu, staf lah juga.tak salah rasanya kalau untuk hasil terbaik ambil kira juga pendapat orang bawahan.

perubahan itu bagus.tapi tak bererti semuanya kena di ubah. ada perkara-perkara tertentu elok kita biarkan saja seperti asalnya.

bagi aku, kalau menjadi bos memang perlu tegas. tapi langsung tak beri peluang orang lain berpendapat, baik tak usah adakan mesyuarat. tulis saja notis depan pintu -senarai perkara WAJIB buat. itu lebih jujur daripada masa meeting cakap` em, saya terbuka, siapa ada pendapat sila beritahu,mungkin kita boleh gunakan idea tu.` tapi akhirnya, semuanya sekadar retorik dan keputusannya, kau mesti buat seperti diarahkan. jangan banyak songel !

budak-budak aku dah nak meletup kepalanya.tak tahan dengan suasana `open` selama 2 minggu ini. sebagai protes, ramai yang ponteng. cikgunya pun sama.(sama dari segi nak meletupnya, bukan ponteng) harini Tanty dah nak menangis. memberi sepenuh hati kepada yang langsung tak ada hati nak menerima.

aku juga dah tak tahan. nasib baik Allah kurniakan aku suara soprano. satu dewan boleh dengar aku jerkah budak yang tak reti bahasa tanpa pakai pembesar suara.. dah lah bahan edaran cikgu yang sponsor, tak payah bayar, bagi soalan ramalan, menanda sampai tengah malam, suruh buat latihan dia boleh buat derk, buka buku lain.entah bio ke, kimia ke..aku jerit kat mereka `awak ingat awak ni kelas Sains 1, awak hebat sangat ke ha?....barulah dengan gaya sombongnya mengambil edaran yang kami berikan.aku lawan arus. aku beritahu Tanty aku dah tak tahan, aku nak bawa kelas Sains 2 ke kelas sendiri.. risiko aku yang tanggung. bila pecah-pecah begitu, baru dapat privacy. baru mood belajar timbul semula. kumpul ramai-ramai ni dah lah bising, bukan study, bergurau 24 jam.

hari-hari ada saja student jumpa aku, `please teacher, please, kami tak suka la kelas gabung...`

aku tak boleh kata apa, bukan aku pemutusnya.aku pujuk jugalah budak-budak ni, tapi aku tahu mereka protes dalam hati.

aku juga sangat ingin mereka duduk kelas sendiri macam biasa, aku ingin beri `personal touch` kepada mereka di saat akhir lagi 26 hari nak SPM ini. bila bergabung, ada rasa tak selesa kerana masing-masing guru ada sentuhan sendiri. mereka dah serasi dengan guru asal yang mengajar .bukan kata gabung dan tukar guru itu tak bagus, dan bukan  guru tak bagus,  tapi semua ada keistimewaan sendiri. semua dah serasi dengan murid masing-masing. murid pun dah serasi dengan guru masing-masing.

contohnya, tanpa tengok nama pun ,hanya berpandukan tulisan saja, aku dah kenal itu kertas jawapan Eric, Davina ,Amiratun , Emon atau Yap Yuh Sha. aku dah tahu kelemahan Mail ialah suka ubah peribahasa, shantini tulisannya sangat kecil sampai susah nak dibaca,Ezat tulisannya macam doktor,Syazwan suka tulis ayat panjang-panjang tapi maksud tak sampai-sampai., Fatin terbawa-bawa laras sastera,Kalaivani tulisannya sangat kemas dan membantu sangat mood aku......semua aku tahu. macamtu juga  cikgu Tanty,Shikin ,Mila dan semua cikgu yang lain, sudah hafal benar muslihat pelajar masing-masing.

kadang kearifan dan kemesraan yang terjalin ini sampai anak-anak ini tak segan-segan panggil aku mami, ibu, emak atau mama. sebab aku ajar mereka macam anak sendiri.. yang nakal kucubit, kusebat, kumarah, yang baik kupuji, yang lalai ku tegur...sama macam cikgu lain buat kepada anak murid mereka.

kemesraan ini yang buat kami arif tentang kelemahan pelajar.kami akan tegur `on the spot` tak payah tunggu minggu depan,kalau mereka silap. ya, memang nakal, namanya pun budak. tapi masih terkawal kalau mereka dalam kelas masing- masing.dalam sekelas tu pun menjangkau 40 orang, lagi nak bergabung sampai 100 orang lebih.

mereka kata perubahan memang susah. tapi bagi aku tak perlu berubah kalau ia hanya membawa kecelaruan.masa untuk `personal coach` dan `personal touch` kami telah dirampas.dan kami tidak didengar.

maka salahkah aku meluahkannya di ruang aku sendiri?

harga kejahilan

 sebenarnya artikel ini adalah luahan isi hati aku tapi aku tak mampu nak menulis sebaik ini.aku kopi pes saja, kredit tulisan untuk tukar tiub aka hishamudin rais.

HANYA TINGGAL KENANGAN


NOTA:
ini istana kucik
telah dirobohkan
dalam tahu 60'an
untuk memastikan
tidak ada hubungan
istana dengan tanah anugerah ini!




KAMPONG BARU HARGA DAN NILAINYA

Pembaca yang budimana – saudara saudari pasti telah terbaca atau terdengar kenyataan Pak Menteri Islam dari United Malay National Organisation tentang betapa berharganya tanah Kampong Baru. Dari akhbar dan tv kita semua diberitahu bahawa tanah Kamnpong Baru ini berhampiran dengan bangunan Petronas. Justeru tanah Kampong Baru ini setaraf harganya dengan tanah di Segi Tiga Emas Bukit Bintang.

Kenyataan Pak Menteri Islam ini amat tepat. Para Menteri Melayu Islam ini memang tahu harga yang betul. Kita diberitahu bagaimana harga tanah di Jalan Raja Alang hanya 2 ringgit untuk satu kaki persegi berbanding dengan 2000 ringgit di Jalan Pudu. Ini adalah kenyataan saheh. Kenyatan yang tidak boleh kita pertikaikan keafdalannya. Jelas, kenyataan Menteri Melayu Islam ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dia bijak dan kita semua bodoh.

Kita dianggap bodoh kerana menentang status Kampong Baru. Kita bodoh kerana kita berkempen menentang rang undang undang Kampong Baru yang ingin diluluskan oleh parlimen. Kita dianggap bodoh kerana menentang rang undang-undang yang membolehkan tanah Kampong Baru dijual dipasaran terbuka. Malah sesiapa sahaja yang tidak tahu harga tanah Kampong Baru di pasaran terbuka akan dimasukkan ke dalam kumpulan OBKG – Orang Bodoh Kampong Baru.

Sayugia diingati , para Menteri-Menteri Malayu Islam ini amat bijak kerana mereka tahu semua harga. Mereka tahu harga tanah, tahu harga rumah, tahu harga sawah atau tahu harga hutan balak. Tanyalah tentang harga – dengan sekelip mata mereka akan menjawab. Menteri-Menteri Melayu Islam cukup arif dengan harga barangan.

Tetapi ada sesuatu yang Menteri Melayu Islam ini bebal dan tidak tahu. Menteri Melayu Islam tahu semua harga barang tetapi mereka tidak tahu nilainya. Mengetahui harga bukan bermakna mengetahui nilainya. Nilai bukan harga. Disini kita semua akan melihat dengan jelas kebebalan Menteri Melayu Islam ini.

Menteri Melayu Islam ini telah berbuah-buih mulut menyatakan betapa stratejik letaknya tanah Kampung Baru ini. Tanah seluar 123 hektar yang terletak ditengah kota Kuala Lumpur ini akan menjadi hempeh kalau tidak dijual ke dalam pasaran terbuka. Malah menurut Menteri Melayu Islam ini tidak ada tanah sestratejik ini akan ditinggalkan oleh sesiapa yang waras otaknya tanpa dijual untuk dijadikan modal. Tanah seluas ini jika tidak dibangunkan maka akan memperlihakan kebodohan Orang Melayu yang gagal dalam perjuangan untuk menjadi kaya.





Disini biar saya bangangkan Menteri Melayu Islam yang suka menipu Orang Melayu ini. Ucapan dan kenyataan Menteri Melayu Islam ini tidak berpijak di bumi yang nyata. Kenyataan ini ‘diterima’ untuk dijaja kepada Manusia Melayu kerana selama ini Manusia Melayu telah dibonsaikan akal fikrah mereka. Otak bonsai ini telah dipaku pula dengan budaya feudal. Otak bonsai dan budaya feudal adalah campuran dua kimia yang telah berjaya melahirkan Manusia Melayu untuk menjadi Tukang Angguk. Otak bonsai tidak berkeupyaan untuk memiliki fikrah yang cerdas dan kritikal.

Manusia Melayu ditipu dengan maklumat yang tidak lengkap. Betul tanah Kampong Baru stratejik letaknya. Tetapi dalam dunia ini ada lagi tanah stratejik yang harganya berjuta juta kali ganda dari harga tanah Kampong Baru. Orang Melayu tidak diberitahu tentang wujudnya tanah-tanah kosong yang paling stratejik tetapi masih ditinggalkan kosong. Tanah tanah kosong yang hektarnya lebih luas dari tanah Kampong Baru masih tersadai kosong di London dan di New York.

Kota London adalah kota perniagaan paling tua. Kota London pernah menjadi kota terbesar dalam dunia. Ertinya harga tanah cukup mahal dalam kota ini. Di tengah-tengah kota London ada tanah seluas 253 hektar yang kosong. Ianya menjadi padang rumput yang dipenuhi dengan pokok-pokok dan dihiasi oleh beberapa buah tasik. Di sebelah tanah kosong ini adalah kawasan hotel dan kawasan perumahan yang harganya berjuta ringgit.

Tanah ini telah dibiarkan kosong semenjak tahun 1637 lagi. Tanah kosong ini telah diwakafkan untuk kegunaan orang ramai bersantai. Selama lebih dari 500 tahun belum ada kedengaran cadangan dari Menteri British yang Kapir untuk membuka dan menjualkan sebahagian dari tanah ini. Menteri-Menteri Kapir ini tahu harga tanah ini. Tetapi dalam masa yang sama Menteri Kapir ini tahu juga akan nilai tanah ini.

Dari kota London biar saya bawa para pembaca ke satu lagi kawasan tanah yang paling stratejik dalam dunia ini. Tanah seluar 341 hektar ini berada ditengah-tengah kota New York. Tanah ini dibiarkan bagitu sahaja – menghutan dan mengrimba. Rasa saya mungkin tidak ada harta tanah yang paling berharga dalam dunia ini melainkan tanah kosong ini di New York. Di sebelah tanah hutan ini ialah pejabat dan gedung-gedung perniagaan antarabangsa.

Bayangkan kota New York ini adalah kota Yahudi. Masyarakat Yahudi ini sering dikatakan memiliki kesedaran perniagaan yang cekap dan licik. New York ialah tempat orang Yahudi berniaga mencari untung. Justeru tidak jauh dari tanah kosong ini ialah tempat dimana para peniaga Yahudi, kapitalis gergasi dan kaum pemodal antarabangsa dunia ini berniaga. Di tepi tanah kosong in para peniaga antarabanga meniagakan riyal, dolar, dinar, minyak, rempah, emas, intan dan apa sahaja yang boleh diniagakan. Bukan sahaja disini mereka berniaga harta tanah malah di Wall Street ini mereka meniagakan turun naiknya sesebuah kerajaan.



Bayangkan di New York – kota Yahudi - masih ada tanah kosong seluas 341 hektar. Tetapi tidak terlintas dikepala ahli-ahli perniagaan Yahudi New York ini untuk membelit para politikus Amerika. Tidak terlintas dikepala peniaga Yahudi ini untuk menipu warga New York agar bersetuju diubah undang-undang Tubuh Kota New York agar tanah ini dapat dijualkan kepada Vincent Tan, Ananda Krishnan atau Teik Jo Low.

Lihat betapa berbezanya Menteri Kapir di London dengan Menteri Melayu Islam di Malaysia. Lihat betapa berbezanya ahli perniagagan Yahudi di New York dengan Menteri Melayu Islam di Putrajaya. Apakah Menteri Kapir di Lodon tidak tahu akan harga tanah di Hyde Park? Apakah ahli perniagaan Yahudi di New York tidak sedar akan harga tanah di Central Park? Apakah ahli perniagaan Yahudi New York ini tidak memiliki pengaruh? Saya jamin mereka tahu harganya. Mereka bukan hanya tahu harga tanah kosong tetapi mereka juga tahu akan nilai tanah kosong ini.

Disini jelas Menteri Melayu Islam ini tidak mengetahui makna nilai. Kerana mereka tidak mengetahui nilai maka bangunan-bangunan lama dirobek. Lihat bagaimana Rumah Pasong Lama, Pejabat Pos Lama, kedai-kedai lama diruntuhkan agar kroni dapat projek baru untuk mendirikan bangunan baru. Jangan sesekali kita melupakan bagaimana Penjara Pudu yang berumur lebih dari 100 tahun telah juga dirobek untuk dijualkan kepada para Cukong.

Untuk anak-anak muda. Untuk mereka yang berumur dibawah 40 tahun ingin saya beritahu disini bahawa satu ketika dahulu Bukit Ceylon itu adalah satu kawasan hutan tropikal asli yang tidak pernah diusik. Juga ingin saya beritahu disini bahawa pada satu ketika dahulu bangunan Parlimen kita dikelilingi oleh Taman Tasek berhutan tanpa Kancil, Rusa dan Kelisa menaburkan karbon monoxide.




Hari ini sejarah telah memperlihat bagaimana hutan Bukit Gasing digondolkan. Kita telah melihat bagaimana hutan Bukit Lenjan musnah. Tidak lama lagi kita akan melihat padang di hadapan Rumah Pasong Brickfeild musnah dilelong. Hari ini kita telah mendengar bagaimana Padang Kelana Jaya tempat warga bersantai telah dilelong.

Apa sebenarnya makna semua ini? Bagaimana kita hendak memahaminya? Biar saya jelaskan bahawa semua ini adalah manifestasi dari sistem ekonomi kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalis yang diutamakan ialah keuntungan maksima. Dalam sistem ekonomi kapitalis apa yang boleh dijual akan dijual. Apa yang boleh membuat untung akan dijual. Kalau anak, isteri atau ibu bapa boleh mendatangkan keuntungan maka – mereka juga akan dijual.

Tetapi kenapa tanah kosong Central Park di New York dan Hyde Park di London tidak dijual. Bukankah Mat Saleh Kapir dan Yahudi New Yok itu pengamal sistem kapitalis? Betul mereka mengamalkan sistem kapitalis. Tetapi para kapitalis kita adalah kapitalis dari Dunia Ketiga. Kapitalis Dunia Ketiga baru muncul – mereka lucah, rakus dan tidak memiliki nilai.

Manakala kaum kapitalis di Eropah dijana ratusan tahun dahulu. Mereka lahir dari pertempuran. Mereka bangun berjuang menentang sistem feudal yang memerangkap mereka. Mereka pemula. Mereka memeta dunia. Mereka menjana seni dan budaya. Mereka melahirkan kaum pemikir dan kaum intelektual.

Semua nilai ini tidak dimiliki oleh kaum kapitalis Dunia Ketiga seperti di Malaysia. Kaum kapitalis di Malaysia ini kalau berbangsa China atau India – teromba dan salasilah mereka adalah kuli di ladang getah atau di lombong bijih. Seni budaya dan nilai hidup bukan milik mereka.

Kaum kapitalis Melayu – ini adalah kumpulan yang baru dimunculkan oleh Dasar Ekonomi Baru. Mereka ini memiliki sifat yang amat hodoh. Lebih hodoh dari kapitalis China atau India yang telah wujud agak lama dlasm negara kita ini. Kaum kapitalis Melayu ini jadi kaya kerana menjual kontrek dan pencari komisen. Mereka bukan pemula, pereka atau berniaga. Inilah hakikat kapitalisma di Malaysia hari ini - kapitalisma Dunia Ketiga.

Kumpulan kapitalis Melayu ini pula akan bersekongkol dengan politikus Menteri Melayu Islam. Amat susah untuk kita mencari garis pisah antara Usahawan Melayu Berniaga Kontrek dengan Menteri Melayu Islam. Dua kumpulan ini sering bekerja sama dan kadangkala orang yang sama. Mereka berpolitik untuk mendapat projek agar menjadi kaya dengan cepat. Justeru jalan pintas untuk kaya dengan cepat inilah dengan menjual tanah Kampong Baru. Akhirnya Kampong baru di gadaikan. (TT)

NOTA:
tulisan ini telah
disiarkan dalam SUARA KEADILAN terbaru
sesiapa yang ingin melanggan akhbar minggun
ini sila pukul talipon : 03-22-27-40 -45

Sabtu, 8 Oktober 2011

hudud,kau faham ke?

Nabi pernah pesan, kalau diam itu lebih baik dari berkata-kata yang tak bermanfaat.tak bermanfaat tu skopnya sangat luas. termasuk membicarakan sesuatu yang kita tak pasti dan tak tahu biji butirnya. lebih baik diam kalau membuka mulut itu dapat menyerlahkan kebodohan kita.

bab hudud,salah satu hukum dari Allah,Tuhan pencipta sekelian alam.kalau  Dia yang mencipta sekecil-kecil kuman itulah juga pencipta sepanas-panas matahari, sedingin ais dan sebesar-besar dunia ini, perlu apa kita mahu pertikai lagi kepandaianNya memberi manusia hukum untuk di patuhi agar kita selamat.

kawan,
aku tak marah kalau non muslim yang bising, kerana mereka belum faham dan tiada inisiatif pun kita hendak memahamkan mereka.yang aku kesalkan, yang lahir-lahir islam ini, yang mengaku bangsa terbagus di dunia ini, yang pantang sangat diusik susur galur keturunannya,tapi tak sensitif pun bila orang mengejek hukum hakam agamanya,mengatakan hukum Tuhan ini tidak sesuai dijalankan.....Allah, aku tak tahu nak kata apa lagi..dan yg menghinakan hukum itu bukan orang lain, orang islam sendiri.

Ada orang masih tidak faham. Walaupun Karpal Singh MENGHENTAK MEJA menghalang hudud atau Lim Kit Siang BERTERIAK      tidak mahu hudud dilaksanakan, semua itu BUKAN persoalan.

Persoalan sebenar ialah PERLEMBAGAAN kita MENGHALANG pelaksanaan hudud. Kerajaan pusat MENGHALANG hudud. Oleh sebab itu, UMNO/BARISAN NASIONAL yang memerintah Malaysia sejak tahun 1957 tidak mahu meminda Perlembagaan untuk melaksanakan hudud!

Apabila timbul persoalan, mengapa hudud tidak boleh dilaksanakan di Kelantan? Tanya kerajaan pusat, tanya ahli Parlimen Melayu Islam yang ada peluang dan kuasa meminda Perlembagaan Negara! -TM


* Prof Dr Aziz Bari mendakwa hudud boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan. Tunggu perkembangan lanjut.

* Majlis Peguam mendakwa hudud bercanggah Artikel 7(2), Artikel 8 Perlembagaan. Maksudnya perlu pindaan Perlembagaan untuk laksana hudud.


BANDINGKAN Kes Rogol di Negara Laksana Hudud dengan Undang-undang Sekular

BANDINGKAN Kes Rogol di Negara Laksana Hudud dengan Undang-undang Sekular
(kredit asal blog Dunia Caca Merba)

moralnya,diam-diam sudah. jangan cakap apa-apa kalau kita tak tahu apa -apa.

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com