Aku ingin kongsikan catatan dr. ubaidullah tentang pengalaman beliau dengan pengembaraannya di bumi new zealand.alangkah berbahagia andai kerajaan malaysia melaksanakan seperti apa kerajaan New Zealand lakukan untuk rakyat mereka..ah,biarpun cuma mimpi, aku ingin kongsi mimpi itu dengan kau kawan.
(er, kalau aku kata aku nak hijrah dan jadi rakyat New Zealand kau tuduh aku tak patriotik kan?hahaha )
--------------------------------------------------------------------------------------------
Negara kebajikan ala New Zealand
Dr. Ubaidullah Mustaffa
Saya amat terkejut apabila mendapati email saya dipenuhi dengan mesej dari pembaca artikel bertajuk New Zealand sebagai model Negara Kebajikan. Tidak mungkin saya dapat membalas semua mesej tersebut tetapi saya akan cuba membalas dalam penulisan saya seterusnya. Apa yang menarik ialah mesej diterima dari pelbagai bangsa Malaysia termasuk dari Sabah, Sarawak dan juga dari rakyat Malaysia yang sedang merantau di seluruh dunia tanpa mengira sempadan fahaman politik.
Setelah meneliti semua mesej pembaca saya membuat kesimpulan bahawa rakyat mahukan Malaysia mengamalkan konsep negara kebajikan secara ikhlas serta disuntik dengan sifat kasih sayang di antara kerajaan dengan rakyat.
(Waktu malam di bandaraya Christchurch, New Zealand)
Gempa bumi di Christchurch masih belum reda. Setiap hari bumi Christchurch bergegar di antara 2 -3 kali. Saya dapat mengecam gempa bumi akan berlaku apabila terdengar bunyi yang menakutkan memenuhi atmosfera bumi. Bunyi seperti benda berat lagi besar bergerak di perut bumi dan benda itu rasanya amat dekat dengan tapak kaki saya. Beberapa saat selepas bunyi itu kedengaran maka bergegar dan bergoyang semua yang ada di sekeliling saya.
Kejadian gempa bumi selalunya tidak lama. Ada yang tidak sampai 5 saat dan yang paling lama saya rasai ialah lebih kurang 15 saat.
Selepas gempa bumi kuat, air bawah tanah akan melimpah keluar bersama-sama lumpur. Kadang-kadang mengakibatkan banjir lumpur. Bekalan letrik dan bekalan air akan terputus. Namun begitu pihak kerajaan New Zealand pantas bertindak. Bekalan letrik dan air dapat disambungkan semula dalam tempoh beberapa jam sahaja kecuali dalam kes-kes teruk terpaksa mengambil masa melebihi 24 jam untuk dipulihkan.
Gempa bumi tapi air percuma
Walau pun dilanda gempa bumi bekalan air bersih di New Zealand adalah percuma. Salah seorang petugas gempa bumi memberitahu saya bahawa air adalah keperluan asas rakyat dan segala kehidupan di muka bumi ini.
Berasaskan fakta itu, kerajaan dan rakyat New Zealand bersetuju bahawa air perlu diberi percuma kepada rakyat. Pihak kerajaan menggunakan dana negara yang dikutip melalui sistem pencukaian negara untuk menyediakan bekalan air percuma. Satu penyelesaian yang amat mudah difahami kerana dilakukan atas dasar kasih sayang antara kerajaan dan rakyat. Semua rakyat termasuk anggota kerajaan sendiri akan mendapat manfaat dari niat baik yang diterjemahkan dalam bentuk perbuatan.
Terkenang saya di negara sendiri tentang isu air. Hujan di negara kita jauh lebih lebat dan lebih banyak dari New Zealand kerana negara kita adalah negara di zon tropika. Tambahan lagi negara kita tidak ada masalah gempa bumi seperti New Zealand. Tapi malangnya air di negara kita terpaksa dibayar. Lebih ironi lagi harga air boleh diumumkan naik oleh pihak tertentu jika perlu mengikut kontrak perjanjian tertentu.
Terdapat usaha kebajikan beberapa kerajaan negeri untuk memberi air percuma kepada rakyat tapi dihalang oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai cara. Jika Kerajaan Persekutuan tidak mahu mengamalkan konsep negara kebajikan jangan pula menghalang Kerajaan Negeri untuk berbuat kebajikan. Kerajaan Pusat tidak bersetuju memberi air percuma pada rakyat kononnya bimbang negara akan bankrupt. Apa yang dapat kita perhatikan bahawa negara New Zealand tidak menjadi bankrupt kerana memberi air percuma kepada rakyatnya. Jelas sekali isu negara kebajikan berkaitan air telah dipolitikkan dan diniagakan sehingga menyebabkan rakyat dinafikan hak kebajikan mereka.
Di New Zealand tidak ada pengerusi bekalan air yang dibayar gaji ratusan ribu sebulan atau jutaan ringgit setahun. Malah tidak ada negara di dunia ini yang membayar gaji pengerusi bekalan air beratus-ratus ribu sebulan dan apabila dicampur untuk setahun akan menjadi jutaan ringgit. Rakyat bukan membayar kos rawatan air tetapi membayar gaji pengerusi bekalan air. Rakyat perlu ingat bahawa negara kebajikan adalah hak rakyat yang perlu ditunaikan tanggungjawab tersebut oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Jikalau makanan ruji rakyat New Zealand ialah beras, saya yakin kerajaan New Zealand akan memberi beras percuma kepada rakyatnya atau harga beras yang paling rendah supaya tidak menjadi beban pada rakyatnya. Sangkaan saya tidak meleset kerana pada hari ini tanggal 22/7/2011 kerajaan New Zealand telah mengumumkan harga susu segar dan cheese diturunkan di antara NZD$0.50 sehingga NZD$1.00 mengikut gred tertentu. Sudah tentu rakyat New Zealand sayang pada kerajaan mereka kerana menjaga kebajikan mereka.
Mari kita bandingkan dengan negara kita. Harga barangan di negara kita selalu naik dan tidak pernah turun.
(Masjid An-Nur yang terletak di Deans Avenue, Christchurch, New Zealand)
Kerajaan kita sibuk bermain politik, sibuk berada di mercu kuasa, sibuk menapis video lucah, sibuk mencari saksi dan bukti kes peguam, sibuk dengan publisiti memuji diri sendiri sehingga lupa kebajikan rakyat yang telah mereka janjikan dalam manifesto mereka dulu. Sudah tentu timbul perasaan benci rakyat terhadap kerajaan. Perasaan benci tersebut bukan kerana dihasut fahaman politik dan bukan benci bersifat peribadi, Perasaan benci rakyat terhadap kerajaan ialah kerana mereka gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.
Apabila kerajaan sibuk berada di mercu kuasa maka kelemahan diri tidak dapat dilihat lagi. Segala cermin yang ada di hadapan mereka tidak menunjukkan cacat cela. Segala teguran rakyat terhadap mereka dianggap permusuhan. Mereka lupa bahawa cermin sebenar mereka ialah rakyat kerana mereka juga adalah rakyat. Jangan dikasari cermin itu kerana bimbang cermin itu akan pecah di mana kaca cermin itu akan melukakan diri sendiri. Salah seorang rakan saya telah meninggal dunia kerana menumbuk cermin dan urat darah dipergelangan tangan putus semasa ia menarik tumbukan keluar dari serpihan kaca yang pecah.
Aku Tuan Kamu Hamba
Semua rakyat menolak pelaksanaan negara kebajikan yang berasaskan semangat tuan dengan hamba di mana kerajaan mahu dihormati sebagai tuan serba pandai dan rakyat dilayan sebagai hamba serba bodoh dan jahil. Rakyat dilayan kerajaan seperti hamba di mana mereka dinafikan hak-hak yang dibenarkan Perlembagaan serta menganggap diri mereka mengetahui segala-galanya. Hanya mereka tidak mengaku diri mereka sebagai tuhan sahaja.
Tindak tanduk serta percakapan mereka menunjukkan hati dan jiwa mereka tidak ada sifat kasih sayang terhadap rakyat. Tidak mungkin seorang tuan akan memberi kasih sayang kepada seorang hamba.
Mereka hanya mengaku bahawa mereka adalah hamba rakyat semasa kempen pilihanraya sahaja. Apabila telah menang pilihanraya dan diberi kuasa oleh rakyat maka pada waktu itu mereka akan memperhambakan rakyat demi kepentingan peribadi dan politik mereka. Apabila kerajaan berjanji akan melaksanakan negara kebajikan atau telah melaksanakan negara kebajikan maka ingatlah bahawa lidah tidak bertulang. Negara kebajikan tidak akan wujud tanpa diiringi oleh perasaan kasih sayang di antara kerajaan dengan rakyat.
Publisiti: Kerajaan jadi macam artis
Apa yang menarik hati saya ialah kerajaan New Zealand tidak pernah membuat publisiti pada dunia tentang pelaksanaan dasar sebuah negara kebajikan. Mereka tidak bercakap banyak tapi bekerja memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat sebagai sebuah kerajaan yang dipilih rakyat. Mereka bekerja memenuhi janji-janji dalam manifesto mereka. Masa bercakap telah tamat. Tiba pula masa bekerja.
Terbalik dengan negara kita di mana banyak bercakap kurang bekerja. Masa bercakap tidak ada titik tamat. Sangat rajin membuat publisiti seperti artis mempromosi album untuk meningkatkan jualan dan menang anugerah. Dunia tidak sedar pun bahawa kerajaan New Zealand sangat menjaga kebajikan rakyatnya serta sesiapa sahaja yang diterima sebagai pemastatutin di New Zealand. Kerajaan New Zealand tidak membuat publisiti kerana mereka sedar melaksanakan dasar negara kebajikan adalah tanggungjawab kerajaan.
Semasa pilihanraya kerajaan membentangkan manifesto sebagai janji untuk memenuhi tanggungjawab. Setelah dipilih menjadi kerajaan, maka menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan manifesto tersebut. Sebagai contoh, tidak ada ibu-bapa yang membuat publisiti apabila melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.
Tidak ada anak-anak yang membuat publisiti apabila melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu-bapa. Begitu juga dengan suami yang melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri atau sebaliknya. Publisiti tidak sesuai dalam urusan tanggungjawab. Malangnya, terdapat kerajaan yang tidak memahami konsep tanggungjawab.terhadap rakyat termasuk di negara kita sendiri.
Tanggungjawab mesti ditunaikan sama ada suka atau tidak. Tidak ada pilihan dalam menunaikan tanggungjawab. Tidak perlu buat publisiti dan tidak perlu minta dipuji. Kalau tidak mahu melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat maka tidak perlu menjadi kerajaan. Mesej ini amat difahami oleh ahli-ahli politik di New Zealand tetapi mungkin tidak begitu dihayati oleh ahli-ahli politik di tanahair.
Kerajaan bukan maharaja
Kerajaan juga adalah golongan rakyat yang dipilih rakyat dalam sistem pilihanraya. Maka rakyat yang telah dipilih menjadi kerajaan jangan lupa diri tentang status rakyat mereka dan tanggungjawab yang telah dijanjikan semasa berkempen. Rakyat memberi mereka undi kerana percaya mereka akan melaksanakan tanggungjawab bukan kerana suka-suka. Jangan pula lupa diri dan menganggap diri mereka sebagai maharaja paling berkuasa, membuat tafsiran hukum undang-undang demi kepentingan politik sendiri, menyalah guna instrument kuasa yang diberi rakyat kepada mereka atau menyakiti rakyat yang lain dengan apa jua cara sekali pun.
Kini negara kita telah dipalit noda dosa antara kerajaan dengan rakyat. Mereka lupa asal-usul bahawa mereka juga adalah rakyat dan bukannya maharaja berkuasa atau raja Bersiong. Cerita Raja Bersiong pun sebenarnya adalah sindiran rakyat kepada pemimpin yang lupa diri, menindas rakyat, mencederakan dan membunuh rakyat sendiri, Kalau kerajaan sudah menjadi seperti Raja Bersiong maka rakyat akan berada dalam kepayahan dan darurat.
Wujudnya Keturunan Raja Bersiong
Mengikut cerita hikayat, Raja Bersiong lupa diri dan lupa tanggungjawab terhadap rakyat sampai ke akhir hayatnya. Beliau tidak mahu mendengar nasihat rakyat kerana beliau menganggap rakyat adalah hamba yang bodoh lagi jahil. Raja Bersiong menangkap rakyatnya beramai-ramai untuk diambil darah sebagai hidangan istimewa. Ada yang cedera, ada yang separuh mati dan ada juga yang mati. Raja Bersiong melanggar hak asasi manusia tetapi pada zaman itu tidak ada undang-undang memelihara hak asasi manusia.
Pada zaman moden ini pun terdapat kerajaan yang mempunyai perangai sama seperti Raja Bersiong. Mereka melanggar hak asasi manusia di atas nama undang-undang. Kerajaan mencedera rakyat dan membunuh rakyat di atas nama perlembagaan dan perundangan. Mereka menghalalkan pertumpahan darah, bertindak kejam pada rakyat sendiri dan mengistihar perang ke atas rakyat sendiri.
Barangkali keturunan Raja Bersiong masih ada di negara kita kerana Raja Bersiong adalah cerita dari negara kita sendiri. Mungkin Raja Bersiong pun akan guna senapang, gas pemedih mata atau water cannon sekiranya teknologi tersebut ada pada waktu itu untuk memberhentikan kebangkitan dan kemarahan rakyat terhadapnya. Kalau Raja Bersiong ada mahkamah pada waktu itu mungkin dia akan menggunakan instrument perundangan untuk mengajar rakyat supaya takut untuk melawannya. Mungkin mahkamah Raja Bersiong akan dipenuhi kes-kes politik yang bertangguh kerana mencari bukti yang direkacipta olehnya sendiri.
Tidak mungkin kerajaan seperti Raja Bersiong akan berjaya melaksanakan negara kebajikan kerana dalam jiwanya tiada perasaan kasih sayang terhadap rakyat tetapi menganggap dirinya tuan yang serba pandai dan rakyat sebagai hamba bodoh lagi jahil. Akhirnya rakyat menghalau Raja Bersiong yang sempat melarikan diri entah ke mana. Jikalau negara kita terdapat kerajaan keturunan Raja Bersiong maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk menghalau keturunan Raja Bersiong tersebut. Raja Bersiong dan keturunannya tidak layak menjadi kerajaan untuk negara kita yang tercinta.
Kebajikan Misi Nombor wahid kerajaan
Melaksanakan negara kebajikan adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih rakyat. Rakyat memilih kerajaan bukan untuk menembak gas pemedih mata ke arah mereka atau water cannon atau dibelasah dengan belantan atau disepak terajang atau di tampar tumbuk tetapi untuk menjaga kebajikan rakyat.
Pada kerajaan New Zealand kebajikan rakyat adalah misi nombor wahid mereka. Mereka menganggap kebajikan bukan sekadar memberi bantuan material tetapi merangkumi perlindungan, memberi promosi dan peningkatan taraf ekonomi serta kebahagiaan sosial setiap warga negara termasuk juga pelarian yang telah diberi status mastatutin atau sesiapa sahaja yang telah dianugerah status mastautin.
Kerajaan New Zealand percaya bahawa negara kebajikan mesti berasaskan prinsip peluang yang sama rata (equality of opportunity), agihan kekayaan negara secara sama rata (equitable distribution of wealth) dan tanggungjawab awam terhadap ahli masyarakat yang kurang bernasib baik. Proses kebajikan mungkin melibatkan sumber kewangan secara langsung dari tabung kewangan negara atau melalui perkhidmatan yang diberikan seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan atau kedua-dua sekali.
(Hagley Park adalah taman rekreasi yang luas di tengah bandaraya Christchurch, New Zealand. Masjid An-Nur terletak di hadapan Hagley Park)
Kebajikan di New Zealand melibatkan pemberian bantuan kewangan kepada individu yang memerlukan melalui sistem agihan cukai.
Menurut undang-undang sosial New Zealand, ibu-bapa mesti meluangkan masa untuk membawa anak-anak beriadah pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Jika tidak membawa anak-anak beriadah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Pihak kerajaan tidak terus menguatkuasa undang-undang tersebut. Mereka memperkenalkan skim basikal percuma kepada setiap keluarga yang mempunyai anak-anak.
New Zealand beri basikal percuma
Pada mulanya agensi kebajikan kerajaan menghantar dua buah basikal percuma lengkap dengan helmet ke rumah saya untuk dua orang anak lelaki saya yang berusia 12 tahun dan 13 tahun. Basikal dan helmet untuk lelaki berbeza dengan basikal dan helmet untuk perempuan. Menjadi kesalahan jika lelaki mengguna basikal perempuan dan begitu juga sebaliknya. Dua hari kemudian mereka menghantar dua buah basikal lagi ke rumah saya. Rupa-rupanya mereka memberi basikal itu satu untuk saya sendiri dan satu lagi untuk isteri saya supaya dapat beriadah bersama-sama dengan anak-anak. Saya rasa terharu sangat menerima semua basikal percuma tersebut.
Setiap hari waktu subuh saya akan menaiki basikal tersebut ke masjid untuk berjemaah subuh. Saya tidak lagi menaiki kereta ke pusat bandar kerana lebih gemar menaiki basikal kesayangan saya itu. Setiap hari Sabtu dan Ahad seluruh ahli famili saya pasti ke Hagley Park untuk beriadah. Jikalau kerajaan New Zealand tidak memberi saya dan isteri basikal tentu kami tidak dapat mengejar kelajuan basikal tunggangan anak-anak.
Jangan kedekut dengan rakyat
Pemikiran kerajaan New Zealand tentang negara kebajikan melampau batas pemikiran kita kerana pemikiran mereka berasaskan kasih sayang dan bukannya publisiti politik semata-mata. Terkenang saya pada negara sendiri. Semenjak zaman YM Tunku Abdul Rahman sehingga zaman YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, saya tidak pernah menerima sebuah basikal percuma pun dari kerajaan. Famili saya pun tidak pernah menerima basikal percuma dari mereka. Mungkin zaman YM Tunku Abdul Rahman adalah zaman kemiskinan. Kerajaan tidak mampu untuk menghadiah basikal kerana basikal pun mungkin tidak banyak pada waktu itu.
Zaman kebangkitan industri dan kekayaan ekonomi semasa era pemerintahan Dr. Mahathir pun saya tidak menerima basikal untuk tujuan kebajikan dan memupuk kasih sayang keluarga secara beriadah bersama-sama. Tidak ada sebuah basikal pun yang saya terima di zaman pemerintahan Tun Hussein Onn dan Pak Lah.
Barangkali idea memberi basikal kepada rakyat tidak pernah timbul dalam benak pemikiran mereka sebagai salah satu langkah kebajikan yang dapat memupuk perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga sebagai unit penting dalam sebuah Negara yang mahu maju di masa hadapan. Saya pernah menderma basikal sebanyak 20 buah sempena Hari Keluarga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dahulu apabila diminta berbuat demikian oleh kakitangan DBKL. Mungkin kakitangan DBKL tersebut tersalah tempat meminta derma basikal untuk ahli keluarga kakitangannya kerana saya bukan badan kebajikan kerajaan dan saya bukan wakil rakyat kerajaan.
Barangkali Visi 2020 kerajaan dipenuhi publisiti minta dipuji dan angan-angan yang tidak realistik sehingga perkara yang realistik pun tidak mampu dilaksanakan demi kebajikan rakyat, Jika negara mampu membina kilang kereta sudah tentu negara mampu membina kilang basikal untuk rakyat. Isu basikal adalah isu kecil tetapi isu memupuk perasaan kasih sayang dalam keluarga adalah isu besar. Perasaan kasih sayang keluarga tidak cukup sekadar mendengar ceramah di RTM1 atau RTM2. Lagi pun siaran-siaran yang dipaparkan di RTM1 dan RTM2 tidak diminati rakyat kerana dipenuhi propaganda dan publisiti. Propaganda dan publisiti membuatkan rakyat muak untuk menonton rancangan di RTM1 dan RTM2. Lagi pun kualiti penerbitan rancangan di RTM perlu diperbaiki jika mahu berperanan secara berkesan dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.
Lebih memeranjatkan saya lagi ialah setiap tiga bulan agensi kebajikan New Zealand akan menghantar beberapa orang mekanik basikal untuk memperbaiki basikal rosak secara percuma. Alat ganti basikal yang rosak ditukar secara percuma. Kita boleh menukar basikal lain jika kita mahu. Agensi kebajikan akan memilih satu pusat komuniti untuk tujuan servis basikal. Maka pada hari tersebut ibu-bapa akan menjadi sibuk membawa basikal masing-masing untuk diperbaiki atau ditukar. Satu pesta yang sangat unik di Christchurch walau pun dilanda gempa bumi setiap hari.
Ternakan pastoral di Amberly
Musim sejuk New Zealand datang lagi. Pada waktu malam suhu boleh jatuh sehingga paras negatif tetapi yang anehnya tidak ada salji yang turun.
(Salji di Mt. Hutt dalam daerah Canterbury, New Zealand merupakan tempat tumpuan pelancong dari luar dan dalam negara)
Bumbung dan cermin kereta yang diletakkan dibahu jalan terdapat ais membeku tetapi bukan salji yang biasa saya lihat di benua Eropah. Barangkali musim sejuk di hemisfera selatan agak berbeza dari benua Eropah di hemisfera utara.
Saya memang suka melihat salji turun kerana ia membuat jiwa saya tenang memikirkan kebesaran Allah swt yang menurunkannya dari langit luas tiada bertiang tiada sempadan. Kerinduan saya terhadap salji terubat jua apabila kelihatan salji putih melitupi puncak-puncak gunung semasa saya dalam perjalanan ke Amberly di utara daerah Caterbury di New Zealand.
Saya ke Amberly untuk meninjau sistem ternakan ruminen iaitu haiwan ternakan makan rumput seperti kambing, lembu dan rusa. Ladang Amberly terbentang luas, indah dan kemas ditanam rumput berkualiti tinggi sebagai padang ragut ternakan ruminen. Penternak ruminen memberitahu saya bahawa rumput adalah makanan murah untuk ternakan ruminen. Menanam rumput sebagai sumber makanan ruminen hanya tinggi pada peringkat awalan tetapi akan menjadi semakin ekonomik pada jangka masa panjang. Menanam rumput berkualiti tinggi (pastoral) sebenarnya adalah input pertanian yang ekonomik untuk ternakan ruminen jangka panjang berbanding dengan sistem feedlot.
Kesannya ialah kos output pertanian akan menjadi rendah. Maka petani dapat menjual hasil pertanian di pasaran dengan harga yang rendah juga. Mekanisme inilah yang membuatkan bahan mentah makanan di New Zealand lebih murah dari Malaysia serta lebih segar dan berkualiti tinggi bertaraf dunia.
Apa yang menghairankan saya ialah negara kita mahu berjaya dalam industri ternakan dengan cara sistem feedlot. Lembu diberi makan dedak sawit dan daun sawit. Oleh kerana tidak ada pilihan maka lembu terpaksa makan dedak sawit atau daun sawit yang dihancurkan. Kaedah feedlot tidak sesuai dengan sifat lembu yang suka ragut rumput segar. Dalam konteks ini semua jenis ruminen gemar meragut rumput segar bukan makan dedak sawit, atau daun sawit yang dikisar atau rumput yang dipotong. Rumput yang dipotong cepat layu dan hilang kandungan airnya.
Jangan jadi hamba lembu kambing
Lagi pun haiwan ternakan kuat makan rumput. Setakat mana manusia mampu untuk melayan haiwan ternakan dengan memotong rumput setiap hari untuk dihidangkan pada ternakan di feedlot. Lebih baik membiarkan haiwan meragut sendiri rumput dari dihidang oleh penternak. Jangan jadi hamba lembu dan jangan jadi hamba kambing. Feedlot digunakan semasa peringkat akhir penternakan iaitu sebelum disembelih atau sebelum dijual.
Kesimpulan
Sebelum kerajaan memberi basikal percuma kepada rakyat untuk beriadah adalah lebih baik jika kerajaan membasmi masalah anjing liar dahulu. Rakyat New Zealand yang pernah melancong ke Malaysia kehairanan melihat begitu banyak anjing liar di Malaysia. Rakyat New Zealand memang suka anjing tetapi mereka tidak suka anjing liar. Mereka kehairanan mengapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menternak begitu banyak anjing liar. Salah seorang pelancong yang baru kembali dari Kuala Lumpur ingin kepastian dari saya adakah ternakan anjing liar di Malaysia termasuk dalam Wawasan 2020.
Dalam nada seloka saya memberitahu bahawa anjing-anjing tersebut akan digunakan oleh Kementerian Pertanian Malaysia untuk menjaga kambing, lembu dan rusa yang akan penuh di ladang-ladang Malaysia dalam masa terdekat. Barangkali rakan saya itu percaya kerana anjing memang digunakan di New Zealand untuk membantu petani mengawal haiwan ternakan.
Ahad, 24 Julai 2011
New Zealand ada.Kau ada?
Posted by Comels at 6:07 PTG
Labels: negara kebajikan, politik
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
salam.. saya belajar di Wellington New Zealand tahun lepas.. mmg kerajaan new zealand sangat efficient dan pemurah kepada rakyatnya.. tak pernah pula terbaca dalam akhbar mereka tentang penyelewengan pegawai2 kerajaan.. bahkan beberapa bandar di New Zealand juga sering menduduki tangga top 10 bandar paling berkualiti di dunia..
salam,membaca catatan saudara, teringin nak melawat NZ. tentu seronok kan...apa agaknya yg boleh dilakukan untuk negara kita memiliki pentadbiran seperti mereka ya?
Sang-sang hamba di Malaysia asyik minta dilayan seperti tuan,asyik dok baca kelemahan orang lain, kelemahan diri sendiri tak pernah dibaca,jangan kerana diri sendiri tak pendai menari, orang lain pulak disalahkan,kalau dah keciwa jangan habiskan masa menghasut orang lain, lebih baik guna masa untuk memohon pertolongan drp Allah supaya dilepaskan diri drp kekeciwaan yg panjang,itu yg lebih manfaat gunakan lidah dan mata pena untuk mencari rahmat Allah,bukan untuk menghasut orang siang dan malam,dikhuatiri nnt diri sendiri tidak dilepaskan Allah drp kekeciwaan berterusan.Sudah2 laa tu, usia semakin tua, belajar lah menjadi orang dewasa yang pandai bersyukur dan dapat mengenal nikmat kehidupan. .Banyak2lah suluh kelemahan diri sendiri, semoga Allah permudahkan kehidupan di mana kita berada.Jangan hanya pandai menadah tangan untuk menerima tapi tidak pandai menghulur tangan untuk memberi,jangan jadi manusia yg tidak pernah puas menerima tetapi tidak pernah memberi.
Sang-sang hamba di Malaysia asyik minta dilayan seperti tuan,asyik dok baca kelemahan orang lain, kelemahan diri sendiri tak pernah dibaca,jangan kerana diri sendiri tak pendai menari, orang lain pulak disalahkan,kalau dah keciwa jangan habiskan masa menghasut orang lain, lebih baik guna masa untuk memohon pertolongan drp Allah supaya dilepaskan diri drp kekeciwaan yg panjang,itu yg lebih manfaat gunakan lidah dan mata pena untuk mencari rahmat Allah,bukan untuk menghasut orang siang dan malam,dikhuatiri nnt diri sendiri tidak dilepaskan Allah drp kekeciwaan berterusan.Sudah2 laa tu, usia semakin tua, belajar lah menjadi orang dewasa yang pandai bersyukur dan dapat mengenal nikmat kehidupan. .Banyak2lah suluh kelemahan diri sendiri, semoga Allah permudahkan kehidupan di mana kita berada.Jangan hanya pandai menadah tangan untuk menerima tapi tidak pandai menghulur tangan untuk memberi,jangan jadi manusia yg tidak pernah puas menerima tetapi tidak pernah memberi.
Catat Ulasan