Jumaat, 27 Januari 2012

PENATNYA MENGEJAR DUNIA

18/1/11
selasa   (11.12 mlm)
ini entri setahun lepas,cuma baru tergerak untuk aku publish hari ini. (27/1/2012)

penat.
sungguh penat.
apalah  yang aku kejarkan sangat dengan dunia ni. semakin kuat aku kejar, semakin jauh ia menghindar. seolah-olah mempermainkan aku yang dah tak berdaya nak berlari.
ada kala aku rasa sangat terasing dalam dunia yang riuh ini. ketika itu aku tersedar betapa bodohnya aku kerana tidak mengadu pada yang betul-betul sudi mendengar. hanya Dia. sebenarnya Kau berikan aku segala jerih payah ini supaya aku kembali bercakap-cakap dengan Mu ya Tuhanku.cumanya kerana nafsu yang beraja melilit kemalasan di fikiranku, tubuh dan segalanya berkaitan aku.

kadang aku terfikir, apa sudahnya aku kalau terus begini?tiba-tiba kalau Kau memanggilku, adakah aku layak untuk Kau pandang?
siapa tahu bila aku akan pergi.tapi yang pasti aku tetap akan pergi.


untuk anda semua yang membaca tulisanku, baik di ruang FB atau blog ini, aku memohon keampunan andai ada yang mengguris perasaan. semuanya tidak kusengajakan. dalam denai kenangan yang tersusur itu, kadang banyak ranjaunya. tak semua kenangan yang indah dan lucu bagi aku adalah indah dan lucu bagi kamu juga. ampun maaf sekali lagi.sungguh tidak adil meletakkan pandanganku sama seperti pandanganmu.kita berkongsi tawa andai kenangan itu sama rasanya bagi kita.tapi mungkin saja kenangan gembira merupakan duka buat mu .maafkanlah...............

kalau-kalau ada antara tulisanku yang melekakan dan lagha. tinggalkanlah yang buruk. ambillah yang baik jika ada. yang buruk-buruk itu semuanya atas kezalimanku sendiri pada diri ini. dan yang baik itu puncanya hanya dari Dia.

agak menggentarkan jiwa juga ketika aku menulis ini terbayang-bayang aku akan dijemput pulang. Tuhan, aku masih terlalu banyak tanggungjawab yang belum selesai dengan dunia ini ya Tuhan. izinkanlah aku menyelesaikannya. izinkan aku menyelesaikan tanggungjawab aku dengan manusia dan sesama mahklukMu .permudahkanlah urusanku Tuhan. Kau maha mengetahui apa yang nyata dan apa yang tersimpan.


dan pada malam ini yang agak melankolik bagi aku, sesungguh hati aku ingin menyatakan aku ampunkan dan aku halalkan segala apa yang telah diperbuat kepadaku, oleh anda semua sama ada sengaja atau tidak.
untuk sahabat-sahabatku, peminat dan pembaca setia blog ku, anak-anak muridku.guru-guruku,pemimpin-pemimpinku.ketua-ketua jabatanku,jiran-jiranku, dan sebenarnya paling utama suamiku serta ahli keluarga, mertua dan ipar duai dan sesiapa saja yang pernah aku berdosa sama ada aku sengaja atau tidak, ampunkanlah...ampunkanlah segala salah silapku..

andainya ini rasa sayu yang patut aku kongsi,katakanlah esok lusa aku akan pergi, terimalah penulisan ini sebagai tanda minta maaf dan kekesalan atas segala keterlanjuranku pada kalian semua.
kematian datang tanpa pamitan. tak dapat ditangguh sesaat, tak dapat juga mahu dipercepat.

mati itu pasti cuma tak tahu bila dan di mana..
Maha suci Engkau Ya Allah yang merahsiakan kematian tentang bila hadirnya.
ibarat kelapa, tak semestinya yang tua saja gugur, kadang putik juga sering dulu mencecah tanah. begitulah perumpamaan hidup ini.bukan kesakitan bertahun terlantar itu yang menjadi petanda dijemput pulang lebih awal. boleh saja ketika segar bugar begini  tiba-tiba kaku tak bernyawa lagi.

aku tidak mahu beralas kata,apa yang ada kurasa aku curahkan. empangan mutiara pembasuh lukaku ini seiring tumpah setiap aku menaip bait-bait kata. entahlah..kenapalah dengan aku pada malam ini..

mati itu pasti cuma tak tahu bila dan di mana.

sebelum aku menyesal di daerah yang tak berguna sebarang kekesalan, biarlah aku menangis kali ini.sekurang-kurangnya bila kau membuka kembali tulisan ini dan andai waktu itu aku telah pergi, anggaplah ini satu permohonan maaf dariku.baik siapa saja aku ini padamu. aku adalah isteri,anak, adik,murid,teman, guru, pekerja dan rakyat kepada kamu yang sedang membaca ini. seandainya semasa hidupku memberi kegembiraan kepadamu, terimalah sebagai hadiah.andainya aku memberi kesedihan kepada hidupmu, ampunkanlah segala salah.

aku terkenang akan anak-anak muridku.
kamu semua cikgu sayangi. tak ada bezanya kamu melayu, cina india, asli...semua cikgu sayang. bangsa dan agama bukan masalah besar kepada cikgu,Allah jadikan kita semua berbeza supaya kita saling berkenal dan berkasih sayang.halalkanlah segala kelewatan cikgu masuk kelas sama ada sengaja atau tidak, janganlah berkecil hati kalau cikgu rotan, cubit dan marah kerana itu tanda cikgu kasih dan endah.
kadang cikgu terlepas kata, marah yang tak terhingga.betul, kamu penyebabnya tapi cikgu juga patut minta maaf sebab sepatutnya cikgu lebih sabar dengan kerenah kamu.sebab ajaran Nabi Muhammad S.a.w tidak pernah marah kecuali berkaitan tidak patuh hidup beragama saja. sebenarnya kamu semua Allah berikan kepada cikgu untuk menguji kesabaran, adakah cikgu berjaya mengawal perasaan atau sebaliknya. dan ternyata kadangkala cikgu kalah.maafkanlah, kerana cikgu juga manusia seperti kamu.ambillah segala pengajaran saya yang baik, tinggallah segala pengajaran yang salah..teruskan hidup kamu sebagai manusia bermaruah, berakal dan berfikir secara benar.

dunia ini banyak tipu daya,jangan tergoda.tiada yang lebih membahagiakan saya selain kamu semua menjadi manusia berjaya, berakhlak dan hidup mulia dengan keberanian mencari yang benar.ingatlah, zaman dunia hampir kiamat ini kebenaran dilihat sebagai salah tetapi salah dilihat sebagai benar.
pencinta kebenaran sangat sedikit tetapi pencinta kebatilan sangat banyak. saya berdoa kamu semua tergolong dalam kalangan yang sedikit itu...

untuk teman-teman sepermainan, sepersekolahan dan seperjuangan yang sama-sama bekerja yang tak mungkin tercatatkan namanya, ampun maaf kupohonkan andai ada silap salahku sepanjang jalan kenangan ini. persahabatan itu indah.tapi kesibukan membuat kita terpisah. aku maklum andai kalian terlupakan aku. tak mengapa, aku bukan orang penting pun yang perlu diingati setiap masa.sementelahan pula aku juga sering terlupa akan dirimu.kita ada hal sendiri-sendiri.dan tabiat `malas` berhubung aku ini menyebabkan kerenggangan semakin parah.tapi sesungguhnya kehadiran kalian dalam relung hati ini sangat istimewa biarpun kadang ada salah faham dan selisih kata. anggap saja itu warna warni kehidupan, aku maafkan dengan senang hati andai kalian bersalah kepadaku,harapnya kita saling menghalalkan apa juga keterlanjuran kata dan perbuatan.

harapnya kalau ada umur kita yang tersisa ini, kita perbaharui niat kita bekerja. kerana Allah jua. langkah kaki keluar pagi-pagi itu hanya kerana Allah. kerana Allah perintahkan kita cari rezeki yang halal. para suami mencari nafkah, para isteri membantu meringankan masalah. kerana itu aku mengingatkan kamu, dan terlebihnya mengingatkan aku sendiri, agar pilihlah pekerjaan yang diredhai. andai makan gaji,ikutlah caranya. andai berniaga, ikut aturannya. sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Allah sudah isytihar perang kepada pemberi dan pemakan riba.takutlah wahai sahabat-sahabatku...aku juga terperangkap dengan urusan riba.hai lah diri,rumah, kereta, hutang..semua konvensional...pening kepala. inilah padahnya tak mahu ikut aturan . dah terbelit semakin parah rasanya. nak keluar macam belum nampak jalannya...

ya Allah, berikan kesempatan aku membersih diri sebelum Kau jemput aku. aku malu Ya Allah.
kadang aku agak kasar kepada yang ajak aku ikut MLM. ampun maaf kawan-kawanku, sedarlah, sistem itu zalim. dan kezaliman tidak ada tempat di sisiNya. cuba jernihkan pandangan dan hati..cuba semak pelan pemasaran syarikat yang anda sertai..ada tidak bentuk rangkaian segitiga piramid itu. bila ada, itulah dia punca kekalutan...cuba fikir betul-betul, benarkah sistem itu bertahan atau `crash` di tengah jalan?betapa teraniaya sahabat-sahabat lain yang berada di bawah itu sedangkan orang atas dan kita yang di atas ini bersenang lenang dengan duit sumbangan downline.bagaimana kalau orang yang di bawah itu terdiri dari pelajar IPT, yang menggunakan duit PTPTN yang sepatutnya biaya dia belajar. bagaimana dengan orang yang bergolok gadai semata-mata `ingin mengubah kehidupan` tetapi nasibnya tak baik sebab sistem anda sudah hampir `crash` dan mereka mangsa...pandanglah dengan mata hati.

tapi andai itu tak kau temui, aku berlepas tangan. kau lebih bijak dari aku. aku tak suka perdebatan. buatlah apa yang kau rasa baik tapi doaku sentiasa mengiringi untuk kau kembali..kembali kepada fitrah sebagai manusia yang ada hati dan perasaan.

Ya Allah.janganlah sesaatpun Kau lepaskan diriku kepada aku sendiri.
Hasbunallah wanikmalwakil...

6 comments:

siti azizah Sang Pencinta berkata...

Indahnya muhasabah dirimu kepada penciptamu. Cahayanya terbias juga kepada diriku. Terima kasih sahabat. Aku ampunkan segala kesalahanmu jika ada, aku halalkan juga segala-galanya jika ada. Moga hidup dan mati kita dipermudahkan oleh Allah SWT

Comels berkata...

terima kasih sahabatku dunia akhirat.kau datang dan tak pernah pergi.semoga kita berjiran di syurga nanti.kirim salam untuk anak syurgamu,firman.(betul ke nama dia?aku tau iman je..;))

Muzakkir berkata...

Tulisan ini seolah-olah memberikan kesedaran kepada saya.. Ayat biasa tapi penuh makna: Terima kasih cikgu..

Comels berkata...

sama-sama muzakkir.ambil yang baik,abaikan yang buruk...

Unknown berkata...

Samalah nasibku dunia yg ku kejar x pernah ku dapat yg dihajati. Sedih,marah,kecewa berlalu dalam hati. Hanya mampu berserah saja pada yang Maha Esa kerana Dia sahaja yg Maha Mengetahui. Tabahkan hatiku,kuatkanlah imanku Ya Allah.

Unknown berkata...

Samalah nasibku dunia yg ku kejar x pernah ku dapat yg dihajati. Sedih,marah,kecewa berlalu dalam hati. Hanya mampu berserah saja pada yang Maha Esa kerana Dia sahaja yg Maha Mengetahui. Tabahkan hatiku,kuatkanlah imanku Ya Allah.

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com