Memaparkan catatan dengan label UPSI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UPSI. Papar semua catatan

Isnin, 24 November 2014

MEMOIR AKU SEORANG CIKGU(PART 14)


GAMBAR KENANGAN DENGAN KAK ZILA,KAK NING,INN DAN AKU    







ISNIN. 1.55 PAGI 24112014

kak najah,kali ini aku ingin berbual denganmu,walau tanpa suara tapi lebih bererti kerana kau sedang membaca suara hatiku.  bererti benar cuti sekolah kan kak, inilah masanya aku menajamkan kembali akal dan hati serta penulisan melalui coretan-coretan pengalaman yang sebahagiannya,kita lakar bersama.


seringnya bila ada cikgu baru posting dan dari Upsi,aku galak bertanya itu ini. tentang surau pak aris,dan pak aris sendiri,tentang taman astakona, tentang blok kapten yazid,tentang blok ahmad bakhtiar,tentang abuya, tentang rumah berhantu R.o winsted..dan semuanya,semuanya. malangnya,tak banyak yang mereka dapat katakan kerana sebahagian besarnya sudah tidak ada lagi. kau ingat pak aris kak?yang setia ke sana sini dengan kamera yang khabarnya berian Tun Ghafar Baba,akan memotret segalanya. berbasikal dan bersongkok lusuh, sosoknya agak misteri bagi kita tapi pada zaman yang tiada kemajuan teknologi kamera dan telefon bimbit itu, pak arislah yang kita harapkan untuk dapat gambar kenangan. 

nanti,beliau akan tebarkan gambar yang diambil atas meja dewan makan,berebut-rebut kita nak tengok,paling penting yang bermain di fikiran ialah `ada ke gambar aku?`  mujur-mujur pak aris tertangkap gambar kita.  hmmm,tapi tak ada yang tahu rupanya siapa pak aris. mungkin dia jadi legenda saja sekarang ini.

kak najah, kau ingat tentang pekan Tanjung Malim? segar lagi dalam mata fikirku ini kak najah,koboinya pekan itu. yang ada cuma kedai-kedai tua, supermarket paling hebat cuma angsoka,pasar malamnya barang murah,ada rel kereta api di depan kedai abuya.abuya,masih kuingat lagi kamilah pelanggan tetapnya untuk beli lauk pauk.nasi masak sendiri.langkah penjimatan. lauk sedapnya ialah telur masak lemak cili api. nanti beramai-ramailah kami makan nasi dalam bilik aku dan kak rozilina yang jadi markas berkumpulnya kami. tak ada yang begitu istimewa di sana, 20 tahun dulu. tapi kini bukan saja berubah,tapi mungkin banyak yang indah.bagaimanapun, aku tetap bernostalgik dengan kedamaian pagi diselimuti kabus dan keheningan suasana itu seakan baru semalam berlalu.

kak,sebenarnya setelah 20 tahun berlalu,aku mendapat pengajaran bahawa bukan sangat ilmu pengetahuan yang kita belajar itu memandaikan kita tetapi ilmu berdepan dengan manusia,pengalaman,kesilapan,kebodohan,kekuatan dan keterasingan jauh dari keluarga itu yang benar-benar buat aku mendewasa. betapa Tuhan membuatkan aku bertemu orang yang salah agar aku memilih orang yang betul. betapa aku dikelilingi ramai orang yang sifatnya pelbagai agar aku bersikap dengan lebih pandai. aku masih terbayang ketika kita berdiri di beranda ahmad bakhtiar, bicara tentang langit biru yang kita lihat,dan ceritamu tentang keajaiban lukisan dari langit yang sering ditidak-tidakkan oleh orang,nyata kau alami dengan penuh ketakjuban tentang kebesaran Ilahi. hatiku puas kak,sekurang-kurangnya aku tahu amaran Tuhan itu benar,kaedahnya saja macam-macam.cuma yang bertuah saja membaca dan memikirnya melalui mata hati.

semuanya tinggal memori.aku ini penyimpan orangnya. kenangan yang tersimpan jelas di fikiran. tapi kini mungkin aku banyak menyendiri. kalau tidak dimulai,jarang aku memulai.kerana aku selalu silap dalam membawa diri. awal-awal dulu, ada juga cuba ku berhubung dengan mantan rakan-rakan seIPSI. kusangka tak berubah, tapi seolah sapaan ini mengganggu dan memberi susah. sudahnya aku diam-diam saja,kecuali kalau dimulai. macam engkau,aku tahu kau sudi bersilaturrahmi jadi aku teruskan saja. jauh di sudut hati ini, aku yang ini masih aku yang 20 tahun lalu dalam menyimpan persahabatan,tak tahu pula hati budi orang.aku dulu selalu teringat-ingat akan kalian,mujur ada FB,aku gembira mengetahui perkembangan masing-masing. rata-rata semakin gembira dan bahagia, Alhamdulillah. kehidupan ini cantik aturannya. Tuhan dah jadikan begitu kan kak.

Tuhan mengaturkan hidupku untuk menyiapkan aku menjadi kuat hari demi hari. aku mengajar di sekolah menengah kak, yang entah mana tempatnya. tak ada seorangpun kawan sekampus,jadi hari pertama lapor diri,aku bawa 3 helai baju, 1 seterika dan mak aku bekalkan RM100. aku tumpang bas kilang yang selalu bawa aku cari rezeki masa menganggur tunggu kerja,kebetulan pekan senai tu lah tempatnya. masuk sekolah pagi,kena mengajar sebelah petang. petang datang lagi,terperanjat aku kak, di sambut dengan peristiwa polis mengiring berpuluh pelajar yang bergaduh ke balai ,ada yang siap bergari!

berdebar hatiku kak. hidup diteruskan,aku insan terpilih mengajar anak-anak pelbagai bangsa,latar keluarga juga budaya serta agama.ada kelas yang baik sangat,mudah nak dibentuk,ada juga pelajar dari kelas yang kurang kasih sayang,yang macam-macam perangainya hingga cukup menjengkelkan. tak sampai setahun,aku sering sakit kepala.rupanya bila jumpa doktor beliau beriku satu kata keramat `awak mengidap darah tinggi!`
stress sungguh kak. mujur hubungan dengan rakan sekerja sangat akrab dan ini menyelamatkanku dari terus jadi gila. kalau kau nak baca banyak pengalamanku, cari saja yang tajuknya memoir aku seorang cikgu.dari part 1 sampai 13,semua aku catatkan sebagai kenangan dan pengajaran dalam hidup.

kenapa aku terfikir untuk sambung belajar?  kau bayangkan kak.setiap kali isi borang prestasi,aku rasa sungguh rendah diri sebab borang cikgu ijazah lain,borang cikgu maktab warna lain. aku sekolah menengah kak, mana ada cikgu baru yang sijil saja, cuma aku. lainlah otai,tak apa. aku malu,dan aku berazam untuk meningkatkan diri untuk memuliakan martabatku sendiri. bukankah tuhan berjanji untuk menaikkan martabat orang berilmu.

7 tahun berlalu, aku dapat sambung belajar di Uitm. aku ambil  art and design .sebab jiwa aku dekat dengan seni. macam-macam juga dugaannya, ada satu tahap tu aku tak mampu nak meneruskan,sampai aku rasa nak patah balik. tak ramai yang tahu apa aku hadapi,seorang dua saja. Tuhan mengujiku,sakit sungguh rasanya,kalau aku toleh semula serasa tak sanggup untuk aku mengulanginya.Tapi dugaan demi dugaan itu buat aku kuat,buat aku semakin yakin yang Allah sayangkan aku,Dia memilihku kerana Dia tahu aku boleh melepasinya.


skroll di atas tu aku dapat dengan air mata demi air mata. tak tertanggungkan kak,tak tertanggungkan. tapi benarlah kata orang,pahit akan manis akhirnya. benar juga kata seorang kawanku, ijazah,master atau phd itu bukan untuk orang yang pandai saja, terlebih lagi sebenarnya ia untuk orang yang TABAH!

ketabahan dan kesabaranlah yang buat kita bertahan sepanjang proses belajar.patut pun Allah akan beri mahligai indah di syurga buat orang sabar,sebab sabar itu mudah diungkap,sukar dilaksana.

walaupun akhirnya bila aku mengajar semula,aku tak mengajar psv,tapi aku tahu ilmu atau skill yang aku belajar itu adalah untuk maksud lain barangkali. cukuplah aku nyatakan padamu kak, saat-saat getir, skill ini jadi penyelamat sebab aku boleh buat side income dengannya.

haritu ,Allah beri peluang kepadaku untuk memperkukuh nama. dapat aku peluang menyertai pameran apresiasi seni kebangsaan anjuran muzium kedah. sekurang-kurangnya, masuk katalog juga nama aku!haha.

kak, banyak yang ditulis,tapi dah mengantuk pula mata ni. esok-esok kita sambung lagi ye.

Selasa, 10 April 2012

Andai Dapat Ku Undurkan Putaran Dunia...

merayau-rayau di muka buku kawan lama,yang aku add,yang aku tak add,yang add aku,yang tak add aku...menyedarkan aku satu hakikat, betapa masa mematangkan manusia,banyak benar perubahannya baik dari segi fizikal, moga -moga pemikiran juga.

Tuhan, malunya aku pada yang namanya keterlanjuran kata-kata,tindakan dan pemikiran masa aku remaja dulu. zaman kanak-kanak,zaman sekolah,zaman maktab...heiizz...kalaulah dapat kuundurkan masa...semua-semua kesilapan tu aku taknak buat. aku nak jaga mulut aku. nak jaga kaki dan tangan aku. nak jaga hati aku...hai...kalaulah...

sebab itu, anak-anak yang membaca coretan mama comels ini,dengarlah. kamu semua di ambang remaja. zaman yang kata-kata kawan lebih lunak didengar dari nasihat ibubapa dan guru-guru. zaman ikut hati. zaman kamu betul,semua orang salah..

dengarkanlah.

agar kamu tak kesal kemudian hari, berhati-hatilah bila berkata dan bertindak.  sesungguhnya, mama sekarang ni begitu terdera dengan kesilapan  hampir 20 tahun lalu.terbayang-bayang di ruang mata,memalukan,menyakitkan dan meninggalkan kesan yang begitu dalam.

mujur Allah mengasihani mama, jadi Dia mermberi kekuatan untuk mengharungi. diberinya juga seorang kekasih yang menjadi tempat berlindung,bermanja dan mengasihi mama sepenuh hati.lewat tindakan dan tutur katanya. hati ini disiram salju hingga parut lama hilang sudah.(terima kasih,sayang,walau sayang tak baca pun blog ni...hehe..)

hargailah apa yang kita ada sebelum ia pergi meninggalkan kita.3 hari lepas,ada nonton filem.terharu dengan kata-kata watak itu:`ya,saya pernah buat silap dan benda bodoh,tapi saya tak boleh buat apa-apa untuk tarik balik semuanya.`

yang penting,lupakanlah,buat yang terbaik untuk hari depan ini.
em,zizi,filem tu bukan filem melayu. sorry!

Isnin, 28 Mac 2011

debat:..Johan punya adik...

isnin,(28 Mac 2011)


entri ini ditujukan khas buat Tanty, anak-anak buah yang masuk debat ala parlimen dan pelajar/mantan pelajar STARP serta sesiapa saja yang sudi baca tulisan aku.

untuk kipas susah mati tentu kau menderita menanti buah tangan dari aku kan,...sekarang kau bacalah ye.

setelah berhempas pulas sehingga mengorbankan cuti sekolah, kami, (tepatnya kawan aku Tanty dan budak-budak skema yang rajin ini ) akhirnya berjaya menewaskan 14 sekolah di daerah Kulai untuk menjadi `johan punya adik`.   itupun sebab dikalahkan oleh SMBP, jadi terpaksalah kami dapat tempat kedua daerah kulai. hahaha. Alhamdulillah, bukan senang tu nak dapat tempat kedua pun sebab sekolah lain pun hebat belaka.

                                                tim pendebat STARP yang gila-gila

 sempat lagi mengadap fesbuk ke  tu.budak-budak sekarang ni...tapi Funna dinobat 2 kali berturut sebagai pembahas terbaik. tahniah funna
dari gerak bahasa tubuh macam cari fakta, tapi apa sebenarnya siapa tahu?masa ni cikgu mereka sedang makan nasi lemak. lapar tau...
kan betul aku bilang cikgunya sedang makan nasi lemak yummi...

dan aku juga..hehe.lapar sangat.tak sempat sarapan di rumah tadi.

posing sebelum bertanding...

barisan pihak kerajaan membawa usul

tahniah kerana berjaya untuk `cool` sentiasa hingga akhir. kepada tim SMBP pun tahniah juga, anda semua hebat. Galaslah tanggungjawab membawa nama daerah ini untuk mewakili negeri seterusnya kebangsaan,InsyaAllah.

peringkat separuh akhir menentang SMK Sri Pinang. menang. Funna sedang meminta izin laluan.

korang tahu apa itu `izin laluan`?maksudnya sedang kau seronok bercakap, kau boleh diganggu oleh pihak lawan dengan pertanyaan demi pertanyaan. kalau kau seorang yang mudah gugup memang alamat kelautlah nanti. inilah yang mencabarnya debat ala parlimen, kau kena memberi jawapan spontan kepada soalan spontan.

dua wanita jelita ini ialah aku dan Tanty. aku tolong sikit-sikit je, Tanty la yang tak lena tidur pagi petang siang dan malam. usahanya berbaloi, kedudukan `johan punya adik` sudah dalam genggaman. berbanggalah, kerana kerja mengalahkan 14 sekolah yang lain bukan mudah...

er...tahun depan tak mahu lagi pegang debat ala parlimen. kita ganti dengan Zuna dan Zizi.orang baru, kaedah baru, masih fresh, mesti rajin. Kau letakkan kita dalam pidato atau pantun, aku suka. em, pantunlah..aku suka. tak payah tidur sampai satu pagi...tau Tanty. kau letak aje nama budak dua orang tu dengan kuasa veto. pedulikan. aku kan dah senior. aku rasa mereka boleh bawa tim ni ke peringkat negeri pulak.haha. zalim tak aku...habislah kalau zuna baca blog ni. dia tahu pakatan sulit kita.

 peringkat akhir menentang SMBP dengan isu `buruh asing membantu memangkin ekonomi negara`..gitulah lebih kurangnya.Mereka sebagai pihak kerajaan.


sampai peringkat ini aku dan Tanty keluar dewan. seram sejuk, takut nak tengok.walau bagaimanapun, bebudak ni selamba saja.tapi dah memang rezeki tak berpihak pada kami di peringkat akhir ditambah dengan beberapa kelebihan dari pihak pembangkang, maka kami akur dengan kedudukan `johan punya adik`.   (istilah ni Fizah yang bagitahu, kalau orang tanya menang ke kalah, jawab...JOHAN....punya adik....)hehe. kasi sikit suspen kepada orang kampung,...

ceria aje budak-budak ni..tak takut  langsung nak bertanding. bagus. sikap itu yang jadi kunci kejayaan, tawakal, tenang-tenang saja.

bersama piala kemenangan.bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian

betapapun berjayanya kamu, jangan lupa ia berkat pengorbanan guru kamu juga...nanti kalau ambil result SPM jangan macam si Tanggang, terutama untuk suraya dan fizah...ingat tu...

piala ni boleh tunjuk dekat anak cucu kamu, bukti kamu pernah masuk debat ala parlimen.nanti anak cucu akan kata `ooo, pandainya mak abah aku ni rupanya...`

posing sebelum balik.


___________________________________________________________________
KETIKA INI SUATU WAKTU DAHULU.


bila cerita tentang debat/bahas, aku tiba-tiba menjadi begitu nostalgik sekali. apa taknya, aku mengasah bakat `bercakap dengan tidak takut-takut` melalui debat inilah jua.


andai ada paparan gambar penguat hujah kejayaanku, tidak ada lain, hanya kutujukan untuk mencabar anak-anak muridku supaya berani mencabar diri, bergelangganglah di luar sana untuk mencari kekuatan sebenar kamu.jika saya sebagai guru boleh lakukan setakat itu, kamu harus boleh melangkau tahap saya kerana kamu lahir di zaman  IT, Facebook,blog, twitter dan segala bagai. 

pada era langit terbuka ini agak mustahil untuk kita besikap dan berkata ~SAYA TIDAK TAHU~

masa sekolah menengah di SMPB aku juga pernah jadi tim pendebat mewakili sekolah. trio kami ialah aku, shiela dan Rabakizah. Cikgu Rahim yang menyelia kami. walau tak pernah mewakili daerah untuk ke negeri, tapi pengalaman itu sangat berharga. menjadikan aku seorang pemberani. dan berfikir lebih sedikit berbanding jika aku tak masuk tim sekolah.

ketika tingkatan 6, aku juga sangat berbangga kerana dapat meraih `johan...punya adik `dalam debat alam sekitar anjuran UKM .bersama trio aku, sheila juga dan kali ni dengan Hawa Nizar pulak. amat membanggakan bagi kami kerana dianggap sebagai tim `underdog`, peringkat negeri johor, kami boleh dapat naib johan. ok lah tu kan...

bila masuk UPSI, 2 kali aku menggalas tanggungjawab mewakili UPSI melawan MPPM untuk merebut Piala Sireh Pulang Ke Gagang. tanggal 15 april 1995, kami bertolak ke melaka dan pulang denga hati yang agak hiba.kami kalah.

tapi tahun 1996 kami tebus balik maruah itu. kami berjaya jadi Johan untuk debat kali itu.amat manis aku rasakan kerana sebenarnya waktu itu aku menghadapi pelbagai tekanan.sangat banyak peristiwa yang menjatuhkan semangat, yang tak perlu kucoretkan di sini.
inilah kami yang mengembalikan maruah UPSI. dari kiri Ibrahim, aku, Zurina dan Din Beramboi
ibrahim sekarang dah berhenti jadi cikgu, buka syarikat konsultant kut. bagus untuknya, mengoptimumkan kebolehan. syabbas inspektor shahab...

aku sedang melawan perasaan...blazer pun pinjam salany punya. huh, gamble betul.


walau ketika itu belum ada gaya ala parlimen, tapi setiap orang perlu berdiri sorang-sorang di depan masa berhujah. merinding bulu romaku...tahankan sajalah. mujur belum ada `izin laluan` diperkenalkan. kalau ada aku tak pasti boleh menjawabnya atau tidak!
aku bergambar dengan Ana (exco), Din dan Zuraina.
Alhamdulillah, piala Sireh Pulang Ke Gagang (piala Munshi Abdullah) pulang ke pangkuan UPSI akhirnya. kegembiraan berganda kerana aku dinobat sebagai pembahas terbaik.


banyak-banyak pingat yang aku pernah dapat, 3 inilah yang aku bawa pindah randah sampai kini. kerana ada nilai yang tinggi dalam hidup aku. dalam kalutnya fikiran, aku masih mampu menggapai awan. pengalaman, tak terbeli dengan wang berjuta..
berkongsi kegembiraan dengan kawan yang sudi hadir hari tu. (Nopiah). debat berlangsung pada hari cuti pertama.

orang semua nak balik kampung. nasib baik ada kawan-kawan yang beri sokongan moral.
aku masa tu tak fokus sangat. lagi 3 hari selepas debat tu aku akan  bertunang dengan hubby. sakit kepala aku memikirkan, mana nak buat persiapan tunang, mana nak bincang tentang bahas...aku dah merayu kepada pensyarah in-charge, En. Ramali.tapi beliau paksa juga aku masuk. nak cari siapa ganti? semua orang nak balik kampung dan tak kuasa memikir kerja budak skema macam ini..

dengan perasaan berbelah bagi dan separuh hati, aku gagahkan juga. Akhirnya aku sangat rasa berbaloi kerana pengorbanan tidak sia-sia.

apa yang lebih penting, aku mendapat nilai yang baik dari semua ini. kita mesti gigih buat sesuatu kalau nak berjaya. lazimnya, semakin kuat kita berusaha, semakin besar dugaan yang datang.macam aku, akhirnya majlis tunang aku berlangsung dengan sempoi saja. tak sempat aku nak memikir macam-macam benda. tapi yang penting, aku jelas dengan tujuan ikatan itu. aku mahu hidup dengan orang yang menyintai aku. dan Alhamdulillah, aku sungguh bahagia hingga sekarang walau majlis tunang tak de lah apa yang aku nak tunjukkan gambarnya..

aku boleh curahkan ilmu kepada murid aku pulak, bagaimana nak jadi pembahas yang baik. tapi untuk kali ini aku tak banyak memberi, maklumlah, Tanty lebih otai dari aku. budak-budak ini pun proaktif, banyak perkara mereka cari sendiri dan kami memantau sahaja.sikap itu yang patut ada kalau mereka nak berjaya.

kekalahan memang pahit. tapi banyak hikmahnya. sekurang-kurangnya kita tak keletihan mengejar masa, tanggungjawab memikul nama dan harapan negeri sendiri, serta boleh tumpukan masa untuk belajar.aku yakin mereka boleh gunakan pengalaman ini untuk mencari yang terbaik buat mereka. sekarang, mereka memiliki lebih pengetahuan berbanding yang tidak menyertai tim debat. sekurang-kurangnya, menguasai istilah-istilah baru dalam bahasa yang sebahagian besar dari kita pun tak pernah dengar. contoh:tahukah korang apa maksud `derana`?humm..tak tahu kan?mari masuk debat.

sebagai akhirul kalam (macam karangan tingkatan 5 pulak dah...), marilah kita sama-sama merenung perjalanan hidup ini. dengan fitrah alam yang semua perkara berlaku mengikut putaran masa, aku berpesan kepada aku dan kamu juga buatlah sebaik-baiknya pada setiap perkara yang kita sedang lakukan kerana suatu masa nanti kesungguhan itu berguna untuk kita jadikan contoh kepada anak muda. sekurang-kurangnya kita patut menjadi warga yang berharga dan sememangnya patut sangat dihargai...

selalunya pelajar yang masuk debat adalah pelajar `skema`. tapi tak mengapalah orang kata begitu. skema itu membawa kepada perubahan sikap, kepercayaan dan cara menanggapi hidup. bukankah baik namanya?


---------------------------------------------------------------------------------------
jijah:wa,ingat nostalgia dulu....
ita:aku pun terer apa...
suzen:aku pun.juara renang olimpik tau....

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com