Selasa, 6 September 2011

TRIBUTE UNTUK MAK (PART 1)

6/09/2011
selasa.5.10 petang.


entri ini kutulis khas untuk mak, wanita terbilang yang bertahta di hatiku. yang tak pernah terungkap didepannya betapa aku sayanginya, sungguh sayang sampai mati.
untuk anak-anak buahku tersayang, bacalah tulisan maksu ini, untuk kau mengenali siapa sebenarnya embah kalian itu, yang sekarang ini terbaring, berjalan dipapah, lemah diangkat. di sebalik sekujur tubuhnya yang kecil dan lumpuh sebelah itu ada sebuah cerita hebat seorang perempuan yang layak dinobat seperti dewi.

selepas ini, bila kalian balik ke kampung, salamlah embah, ciumlah dia, kasihanilah dia. maafkanlah kegarangannya. semuanya bersebab.

dan sebenarnya maksu menulis untuk mengingatkan diri sendiri agar mengenang jasa embah yang hidupnya dikorbankan seluruh untuk anak-anaknya. maksu tau embah tak baca pun blog ni. embah buta huruf. embah tak tahu pun blog tu apa . embah tak tahu pun maksu buat cerita ni untuk war-warkan kepada orang seluruh dunia, betapa dialah dewi hati maksu yang tak pernah maksu ucapkan padanya, `kita sayang dekat mak`...

mak,
pertama sekali ampunilah kita mak. kita tak dapat tolong mak banyak-banyak. tak dapat bagi duit kat mak banyak-banyak walau kita dah kerja. kita jarang dapat jenguk mak kat kampung. kita banyak dosa dengan mak. kita anak yang jahat mak. kita tak kenang budi. mak,kita selalu merungut kalau mak suruh buat apa-apa. kita selalu tertinggi suara kat mak. kita dah hancurkan hati mak dengan lirikan mata yang tajam bila terlalu penat kalau mak banyak pinta.padahal dulu mak yang jaga kita, mak cebokkan punggung kita.mak yang mandikan kita, mak tolong buang cacing putih kat punggung kita  yang bersarang dalam perut. bila makan ubat cacing dari sekolah, nanti bila buang air besar kita terpekik terlolong geli sebab ada cacing kat punggung sendiri. mak juga yang tolong bersihkan.

mak, mak tak pandai nak ucapkan sayang kat kami semua. mak tak pernah nak belai-belai atau manjakan kami. mak sibuk. mak tak sempat. kepala mak ligat berfikir macamana nak cari duit untuk isi tembolok kami yang tak pernah kenyang ni.mak lebih utamakan pelajaran. mak suruh kami sekolah pandai-pandai, sedangkan mak sendiri tak tahu membaca...kalau kita bawa balik buku penyata, mak tak tahu pun berapa markah yang kita dapat, mak sain aje apa yang kami suruh sain. itupun jenuh kami ajar mak supaya buat huruf `S` dengan betul kerana nama mak ialah Supurah. tapi lagi-lagi mak tulis terbalik. kadang-kadang kita ketawa sama-sama sebab tanda tangan mak ialah huruf s terbalik.kalau kita dapat nombor best pun, mak senyum sikit je. tak pernah mimpi nak dapat pelukan atau pujian macam mak peluk anaknya dalam drama melayu tu. kadang-kadang kita rasa mak tak kisah pun kita dapat nombor berapa asalkan sekolah.

mak, kita nak minta ampun dengan mak, sebab dulu kecik-kecik kita pernah malu jadi anak mak sebab kita sangat miskin. kita pergi sekolah naik basikal gerabak bapak yang besar tu, handlenya sangat besar dan panjang. orang lain miskin juga, tapi tak lah buruk benar basikalnya. kita jadi malu sebab miskin. nanti kita letak basikal tu di bawah pokok sawit kebun arwah Darjat, sambung sikit jalan kaki ke sekolah. lepastu masa kita darjah satu, mak belikan kita kasut plastik yang ada butang hitam kat belah kanan. masalahnya kasut tu sempit sangat. tapi kita takut nak minta yang baru, kita tau mak tak ada duit nak belikan. jadi kita pakailah kasut tu sampai darjah dua. lama selepas tu kita selalu menyalahkan kasut tu kerana menyekat tumbesaran kaki. sampai sekarang kaki kita cuma saiz 5 aje mak.

mak, kita nangis tau mak masa menulis ni. kita tau mak sayang sangat kat kita, tapi kita jadi kekok nak tunjukkan sayang kat mak. masa membesar dulu, mak terlalu sibuk bekerja dan penat. mak tak banyak berinteraksi.jadi kita membesar dalam keadaan menyembunyikan perasaan. mak sayang kami, kami yang tak faham sebab mak tak lafazkannya dengan kata-kata. mak, ingat tak dulu setiap jumaat mak akan ke pasar tani simpang renggam.mak akan bawa segala hasil kebun mak selagi mak terdaya. mak bawa pisang tanduk, jantung pisang, pucuk ubi, pucuk paku dan segala-galanya yang boleh dibawa dengan basikal buruk kita. mak kayuh basikal tu sampai parit Salleh, kemudian mak naik bas sampai simpang renggam. mak bentang alas, mak duduk dan jual hasil tani mak.

mak, kita rasa sangat pilu sekarang ni. kita bayangkan betapa penatnya mak berniaga, berpanas berhujan demi membesarkan kami semua. yang kita ni taunya pesan kat mak, `mak, belikan jajan tau..`
nanti petang bila mak balik kita berlari-lari mendapatkan mak. mak tau kita akan hampa kalau mak tak belikan jajan. jadi mak belikan kita coklat yang bungkusannya merah.bungkusan tu berkilat, kita sangat suka coklat tu. nama coklat tu apollo, sampai sekarang kalau kita terjumpa coklat tu, kita akan teringat betapa magiknya nostalgia kasih mak.
 inilah gambar coklat apollo yang selalu mak belikan untukku...


mak gembira tengok kita suka makan. mak, masa tu kita tak terfikir pun yang mak susah betul cari duit. kalau kita sedar hakikat tu, sumpah mak, kita tak nak minta mak belikan apa-apa.

tapi mak tak kisah. mak belikan juga.

mak, maafkanlah kita mak, dulu pernah malu jadi anak mak sebab kita hidup miskin. masa tu kan, kita sekolah rendah. waktu pj, semua orang ada seluar trak yang warna biru atau hitam, tepinya jalur putih. kita sangat cemburu, kita cakap kat mak yang kita  malu tak ada seluar sukan. mak kreatif, mak tak ada duit. tapi mak ada idea. mak ambil reja kain putih dan kain biru laut lebihan kain sekolah menengah kak roha agaknya, mak jahitkan kita seluar pj. jadilah seluar pj kain kapas yang warnanya lain daripada orang. kita malu sangat nak pakai, kita rasa macam alien, orang lain sama adakain lembut warna hitam atau biru tua, kita seorang saja seluar kain sekolah  menengah `hand made,`warna biru muda pulak tu.

mak ampunkanlah kita sebab pernah malu jadi anak mak kerana kita miskin. kerana terpaksa, kita pakailah juga seluar tu.tapi tak mahu keluar dari tandas. kita rasa semua mata tengok. memang betul mak, semua mata tengok. kita malu sangat. rasa nak lari balik rumah.tapi tiba-tiba ada seorang kawan kita, kalau tak salah Liza nama dia tanya dari mana kita dapat seluar pelik tu. kita cerita la mak yang buat.rupanya Liza kagum dengan bakat mak. dia puji yang seluar kita cantik. dia puji mak pandai jahit. tiba-tiba kita rasa kan mak, kita terjulang atas pelangi yang cantik berwarna-warni. kita terus rasa seronok. kita tak malu dah nak pakai seluar tu.mak, maafkanlah kita ye mak. banyak dosa kita kat mak....

kita tak nak menyesal bila mak dah tak ada nanti kita terlambat nak cakap kat mak kita bangga dengan mak. kita sayang sangat kat mak...tapi ego kita ni tinggi sangat mak. kita malu nak peluk-peluk mak. kita malu nak cakap kita sayang kat mak....mak, ampunkanlah kita mak....
-------------------------------------------------------------------------------------------
JATUH
 
emak adalah seorang yang tabah. kuat semangat. keras hati. rajin berusaha. tak pernah seharipun aku lihat mak bersenang lenang di rumah masa dia kuat bekerja dulu. seawal pagi mak akan bangun dan menghidupkan kayu api. dapur gas tak ada. elektrik tak ada.kalau malam rumah kami bergelap. kalau siang rumah kami sangat panas sebab tak ada kipas angin.

emak akan buatkan sarapan lempeng. kalau tak ada tepung mak akan masak pisang rebus atau ubi kayu atau keledek. mak sangat cermat dengan makanan. mak marah kalau kerak nasi dibuang merata-rata. mak cakap, mentang-mentang hidup mewah semua nak dibuang, mak ingat keperitan zaman jepun dan komunis dulu susah betul nak dapat beras. jadi bila dah dapat beli beras mak tak kasi sebiji nasi pun terbuang. kerak nasi yang direndam tu mak akan jemur. nanti mak simpan bagi ayam makan.

lepas itu mak akan pergi menoreh. jauh tempat mak menoreh.dekat Pt. Yusof. mak buat getah beku. nanti mak terbongkok-bongkok menoreh. lepas tu mak pungut getah beku. mak kumpulkan untuk dijual dengan amoi atau ah hong.masa kecil ,aku, abang ijam dan kak roha akan tolong mak di kebun getah. jauh perjalannya, merentasi kebun ah hong, arwah kak aloh, abang ajan dan sapa-sapa ntah lagi. nanti bila melintas kebun abang ajan dan arwah wak , kita akan jerit-jerit...`uiii``...dah siap ke?`....`beluuum`....

lepas itu kami teruskan perjalanan ke kebun mak. ada parit kecil sepanjang jalan dan banyak ikan seluang di dalamnya. airnya kelat payau tapi jernih. dalam kebun mak tu pun ada lopak yang dalam juga la. ikan seluang dekat situ lebih besar. kadang-kadang kami tangkap ikan seluang, kalau dah kecik sangat macam bilis tu tak payah siang, gaul tepung dan goreng. lazat sungguh.. atau kadang buat pais ikan seluang. budak sekarang ni ikan seluang pun tak tau macamana rupa.
 inilah rupa ikan seluang  tu. sekarang mungkin dah pupus.ikan ni tinggal dalam air yang bersih dan jernih. adakah lagi bersih dan jernih itu?

banyak aku belajar tentang alam. aku kenal juga la beberapa jenis pokok hutan yang boleh di makan. antaranya buah berunai. bila masak, buah ini berwarna biru. bila dimakan mulut kita akan bertukar menjadi merah. kami berebut-rebut buah yang dah masak. rasanya masam manis.bergugus -gugus kecil.(puas aku google buah ni tak jumpa. gambarnya.)
ada pokok bemban di sepanjang parit. batangnya selalu kami buat senapang dan daunnya berguna untuk sakit mata merah. mak selalu suruh pergi ambil air embun pagi yang bertakung di pucuk daun muda bemban dan titiskan ke mata.sejuk rasanya.

bemban. dulu banyak di seberang parit. sekarang macam dah mati .

ada pokok sukun yang sangat tinggi di jalan masuk kebun getah tu. bila balik dari tolong mak, aku akan kutip daun-daun yang dah tua dan berguguran untuk jadikan kipas. kemudian aku berfantasi aku  seorang puteri raja yang dikipaskan oleh dayang istana. lamunan terhenti bila rasa lenguh menjalar di tangan sendiri yang mengipas.

sebelum sampai ke kebun ini, kami akan meniti jambatan Pt Yusof yang sungai dibawahnya bercantum dengan sungai benut. tak pasti ada buaya atau tidak. tapi aku pernah main berkubang di sini dengan suzen, inong, haris dan imah serta beberapa lagi geng kampung. mak pun pernah masuk ke sungai tu. bezanya mak tak berkubang macam kami.

Tuhan, kasihannya ibuku..
.kisahnya jambatan tu kecil saja, muat basikal. dah lah tinggi, ada beberapa papan yang sudah reput dan pakunya terpokah. satu hari mak balik basah-basah. mak cerita mak terjatuh dari atas titi tu, ke dalam sungai,dengan getah beku yang mak bawa.rasanya adalah dalam 10 kaki tingginya titi dengan sungai tu. aku menangis mengenangkan betapa pengalaman mak itu terpaksa ditempuhnya untuk membesarkan kami semua.tapi perempuan bernama emak itu tak pernah mengalah. esoknya dia meneruskan rutin yang sama menoreh untuk mencari rezeki.

emak....

mak masak apa yang ada. kadang kadang saja dapat makan ayam. itupun tunggu ada kenduri -kendara.makanan paling ruji ialah ikan kering gelama, ikan kapak atau ikan sepat. yang kerapnya gelama lah. kapak dan sepat agak mahal. mak bakar atas kayu api berbara. baunya ampun, menerbitkan lapar. . sayur pucuk paku, paku merah atau pucuk ubi. lauknya yang lain ialah kicap cap tiga ayam atau cap orang tanam padi.

BERANI

mak wanita yang berani. masa aku sekolah rendah, bapak kerja dekat singapura. biasalah, orang kampung aku yang lelakinya masa zaman 80-an kebanyakannya kerja singapura.jadi maklah yang paling tua dan maklah ketua keluarga.satu malam, mak dengar bunyi bising di reban ayam. mak memang pantang betul kalau dengar ayamnya diusik benda. dah la tengah malam, karen tak ada, lampu suluh pelita saja. aku tidur-tidur jaga. aku dengar mak turun ke bawah. aku pasti mak sedang periksa ayam-ayamnya.  kemudian aku terlelap.

esok pagi, aku pergi ke pelantar nak basuh tangan. aku terjerit-jerit terperanjat. dekat tepi pelantar tu tergeletik seekor ular sawa sebesar batang pinang!masa aku sedang histeria tu, aku terfikir juga kenapa ular tu tak bergerak.rupanya kepala ular tu dah hancur mak kerjakan dengan parang. perut ular tu dah buncit, telan seekor ayam mak.bila mak dah naik berang, mesti mak tak takut dah.selepas itu aku salute dengan mak. mak memang berani.
inilah lebih kurang besarnya ular yang mak bunuh tu....

aku akan sambung nanti.....

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com