Terdapat ralat dalam alat ini

Rabu, 29 Oktober 2014

MEMOIR AKU SEORANG CIKGU- PART 13 (DALAM HATI ADA TAMAN)



DALAM HATI ADA TAMAN


Ya, begitulah kawan. Sejengkel-jengkel hati seorang guru setahun ini, tiba saatnya bila mereka nak berhadapan dengan peperiksaan besar dalam hidup mereka seperti SPM ini, maka secara semula jadinya menjadi redalah kemarahan, letih, resah,bosan dan rajuk kita setahun itu. Itulah keajaiban perasaan yang dikurniai Allah untuk pendidik agaknya, kalau tidak, macam manalah anak-anak ini nak melangkah dengan berkah Tuhan.



Kalau diingatkan penderitaan setahun itu ya ampun, tak mampu dilafazkan dengan kata-kata. Hanya pendidik,yang selalu mengajar kelas `hujung` yang tahu betapa geloranya hati menahan rasa. Sampai kadang-kadang bersumpah, contohnya seperti `huh! Sungguh we, akak tak sanggup menahan walau sehari lagi untuk ke sana! Menjengkelkan! Si A begini, si B  begitu, si C aduhai! Sakit hati,sakit otak,sakit mental, semua terpaksa ditelan kerana seminggu, saban hari tetap ada jadual kemesraan itu diaturkan untuk sebuah pertemuan.



Entahlah kawan, kalau kau tidak bekerjaya sebagai guru, sukar untuk kujelaskan rasa apakah ini. Kau boleh jadi putus urat saraf menghadapi kerenah anak-anak remaja yang latar hidupnya macam-macam. Ada yang kurang kasih sayang, dahaga perhatian, degil semacam, sombong tak tentu hala, pemarah, panas baran, terlalu penyendiri, di alam nirwana, gedik nak berpacaran…kau harus hadapinya dengan gigih,setiap hari, berpuluh-puluh orang, serentak! Bila kau mampu kawal kelas, kau adalah hero.aku, dah umur begini, agak letih nak berbasa-basi. Psikologi dah buat, tumbuklogi dah penat,setahun masih buat tak tahu, apa yang aku nak buat lagi. Sudahnya titipkan doa saja dalam solat dan tiup-tiup sedikit kepalanya dengan surah pilihan agar tawar kenakalan melampau itu.



Semalam masa aku dihabiskan dengan bersembang bersama sharul and the gang. Letih dah nak mengajar,aku reda ajelah apa yang didapat setahun ni.lagi tinggal sehari dua saja nak SPM dah. Sekurang-kurangnya perkataan `dasawarsa` dan `pada realitinya` dihafal juga sebagai awal bicara karangan,Berjaya dah tu kan.begitu banyak cerita mereka,

kenangan 5 tahun menjadi watak  antagonis yang melelahkan cikgu dan pentadbir buat kami ketawa besar. Sharul bilang, `cikgu, andai masa boleh diputar, saya nak balik semula sekolah dari darjah 1!`. Aku pula bilang, `sharul, kalau masa boleh diputar –putar, saya nak putar ke depan agar tak jumpa kamu!` hahaha. `huh, sampai hati cikgu!`


Bersantai-santai begini memang kegemaran mereka, kalau boleh setiap waktu selama 5 tahun sekolah tu adalah masa bersantai dan berborak kosong hatta dengan cikgu sekalipun. Banyak kenangan yang dicungkil kembali,membuat aku sakit perut kelucuan walau ketika perkara itu berlaku pastinya begitu menjengkelkan bagi pihak kami, guru-guru ini. banyaklah nama yang timbul semula contohnya cikgu Lim, cikgu Teo, cikgu Faridah dan tentu sekali cikgu Kamal! apapun, sebenarnya budak-budak ni tak ambil hati langsung walau kena marah begitu teruk ,selama 5 tahun!tak ada dendam, yang ada cuma nostalgia yang membuatkan mereka sayang nak tinggalkan sekolah,katanya...

CIKGU LIM, CIKGU TEO DAN CIKGU FARIDAH

sharul cerita, masa menengah rendah hampir saban hari kena kejar dengan cikgu Lim. asyik memonteng,masuk lambat,rehat hilang sampai hypermarket, hisap rokok..entah apa senarai lagi kenakalan mereka. Gembol kata, lubang mana yang mereka tak lolos, pagar mana yang mereka tak lompat.semua kawasan menyeludup keluar ada dalam poket mereka.  satu hari,cikgu Lim geram sangat sampai semuanya nak kena rotan. cikgu lim kejar mereka yang entah buat onar apa pada waktu tu.  cikgu Lim sampai penat mengejar, mereka pula penat berlari. `dah lah bulan puasa tau cikgu!` akhirnya kenalah cekup. cikgu lim tak sampai hati nak rotan, diberinya pilihan budak-budak tu nak rotan hari tu juga ke, tunggu lepas raya. mereka kata lepas raya.  sampai ke sudah, sampai mereka dah tingkatan 5, cikgu lim tak rotan-rotan pun. terlupa agaknya!

sedang rancak bercerita, tiba-tiba cikgu Lim datang ke kelas. semua terdiam.  tiba-tiba dia kata`ada tak pelajar yang masuk kem akademik tempoh hari,dia nak bagi gambarnya.  semua geleng kepala. bila beredar, aku pun kata, hah, suspen lah tu, ingatkan cikgu lim nak rotan kamu kan, kut lah teringat balik hutang tingkatan 1 dulu!.kami semua tergelak.

sharul kata, cikgu Lim tak dapat kejar mereka, tapi cikgu Teo jangan buat main!lari punya laju, kalah mereka semua. kisahnya, masa mereka tingkatan 1, kelas sebelah peralihan, entah dari gila yang nombor berapa datang,mereka semua main mercun! tengah-tengah sunyi sepi tu, bolehnya diambil botol,masukkan mercun dan bakar hujung kelas. masa tu cikgu Teo ada kat sebelah, apa lagi, kena kejarlah semuanya. memang tak seorang pun selamat sebab cikgu Teo kuat lari. laju macam angin, katanya.

tentang cikgu Faridah pula, si hakimi lah yang paling kelakar. nazarul report ada budak buat gambar cikgu faridah kat tandas lelaki, lepas tu tulis lucah. (cikgu Faridah garang ya ampun,budak memang takut kat dia)  lepastu, spot chek dijalankan, masing-masing tak mengaku. tiba ke hakimi, kena gertak dengan cikgu faridah,kalau mengaku,gantung, kalau tak mengaku, tapi  didapati bersalah, terus buang sekolah. si kimi ni penakut kata sharul,dia tak buat tapi entah kenapa takut sangat dengan perkataan `buang sekolah` tu, jadi dia pun mengaku.tak pasal-pasal kena gantung seminggu!
`habis tu, kimi buat ke tidak?`
tak la cikgu, tapi penakut tak tentu pasal ngaku je la walau bukan dia yang buat. 
habis, kau berani sangat la ye sharul?
kalau saya tak salah, saya berani je la cikgu, sumpah pegang Quran pun saya tak kisah kalau saya tak salah!`
`heleh kau ni,cakap je lebih`
`betul cikgu, haritu ada kes apa ntah, cikgu kamal kata saya yang buat. saya tak ngaku, cikgu kamal kata kalau betul tak cakap bohong, sumpah pegang Quran. saya setuju je sebab masa tu memang saya tak salah. saya tunggu...`
`dah tu, apa jadi?`
tak jadi apa-apa sebab cikgu Kamal cari Quran tak jumpa-jumpa!

si Gembol mencelah,dia tak lupa kes kena kejar dengan cikgu kamal. masa tu mereka nak ponteng kelas, lalu padang. tiba-tiba cik kamal jerit,berhenti,!jangan lari!  apa lagi, makin berlarilah mereka menuju ke tangga munsyi.  gembol paling belakang, maklum ketika tu badan dia agak comel(sampai sekarang pun).. gembol berkejar-kejaran dengan cikgu kamal. bila dia toleh belakang, dia rasa kesian tengok cikgu kamal lari sambil pegang lutut! dalam hatinya nak tolong cikgu ke,nak lari. kesian tengok cikgu sakit kaki,gout. tapi memandangkan kawan-kawan semua dah jauh, dia ambil keputusan lari juga. mereka sembunyi di tokong cina besar sebelah Mydin. bila nampak cikgu kamal, mereka lambai-lambai cikgu kamal.  cikgu pula, tak larat nak kejar, lambai balik kat mereka!

hah...lucu sungguh cerita budak-budak ni. tapi cikgu kamal dapat cam satu beg merah yang dipakai oleh daus. esoknya, semuanya dapat ditangkap gara-gara beg daus. semua kena beratur depan pejabat menadah muka sambil kena maki. padan muka, cari pasal lagi. kemudian semua kena gantung seminggu. kebetulan lepas tu cuti sekolah pula seminggu. jadinya `kami menikmati cuti dua minggu yang seronok,cikgu'!

banyak lagi kenangan mereka, tapi tak larat nak menulisnya.nyata,dah besar ni, matang juga la perangai. sedar juga la yang dulu mereka memang nakal sangat. apapun, mereka begitu sayangkan semua cikgu,terutama cikgu kamal!

bak kata sharul,`cikgu,buruk-buruk kami ni, nanti kalau cikgu punya tayar kereta pancit, kitaorang ni lah yang berlumba-lumba tolong cikgu betulkan. daus bawak tayar spare pakai motor dia, saya tolong bukak tayar, budak-budak lain ni tolong tengok! cikgu nak harap budak-budak pandai tu, jangan harap sangatlah cikgu!

er...betul ke?

Rabu, 22 Oktober 2014

ANJING:HAKIKAT,SYARIAT,MAKRIFAT DAN MEMOIR SEORANG AKU (PART 2)

10.22 MLM. 21/10/2014

INI SAMBUNGAN ENTRI TADI. PANJANG SANGAT KAWAN,MESTI KAU MALAS NAK BACA. HEHE.

banyak kenangan melibatkan anjing dalam hidup aku.  ada pelbagai cara Tuhan mengujiku melalui mahkluk anjing ini. dah nama pun hidup  lebih 40 tahun (amboi, matang dah ni).yang mana teringat aku catatkan buat teladan,atau sempadan. terpulang kau melihatnya bagaimana.

sebagaimana seperti kebanyakan orang melayu tipikal yang tinggal di Malaysia, aku dan anjing juga bukannya  besahabat baik. malah ada beberapa insiden ngeri yang buat aku trauma dengan anjing. antaranya...

ANEKDOT 1.:AKU, ANJING AH HONG dan MEMOIR BALIK NGAJI

kisah terjadi masa sekolah rendah.ngaji di rumah cik Amat Jarah.waktu malam.lepas maghrib sampai ke isyak naik basikal atau jalan kaki. letrik belum ada. depan rumah ada cina Ah Hong jiran  yang suka bela anjing. anjing yang nakal. suka gempak kami walhal hari-hari kami melintas rumah dia. kami tu ialah aku, abang ijam dan kak roha. melolong-lolong kalau menyalak.kadang dia kejar-kejar manja. aku pulak yang melolong-lolong. siap bawak kayu bagai. tak heran anjing tu aku rasa.
satu malam,rasa seram nak lalu tapi agak yakin sebab dah menghafal ayat menghalau anjing yang kak imah ajar.  surah yasin, yang bunyinya `' summumbukmun umyum fahum laayar jiun..`

whoaa, konfiden sungguh malam tu. dari lepas turun tangga rumah cik amat aku baca dalam hati tak putus-putus dengan harapan sampai rumah ah hong nanti tak ada la anjing tu nak kejar. aku naik basikal,kak roha bawa aku. abang ijam naik basikal sendiri.
sampai rumah cik anor aku dah suspen, takut tak berhasil.  kak roha mula baca ayat tu kuat-kuat. detik dinantikan tiba. sampai rumah ah hong kami baca kuat-kuat .ramai-ramai. sambil tu kak roha kayuh lagi laju. sekali tu, `kung! kong!kong!`. apa lagi. terpekik terlolong la kami sambil terjerit-jerit. sebab bukan saja menyalak, anjing tu tak berikat dan menyerbu ke basikal kami. walaupun gelap, aku nampak sosok anjing tu garang ya ampun.  kaki aku naik ke pinggang kak roha, takut kena gigit.  eh, pandai pulak anjing tu main acah-acah, kejap dekat kejap jauh sikit. kemudian bila ah hong dengar riuh-riuh, dia pun panggil anjing dia masuk. elok aje anjing tu lari balik. huh, geram betul.

sambil takut, gelihati pun ada. lepas itu, terbahak-bahak kami ketawa .bila difikirkan balik, padan  pun ayat tu  tak berkesan, mesti masa kami baca tu tunggang langgang. tajwid ke mana,sebutan ke laut. ntah ke siap anjing tu cakap dalam hati `teruknya budak-budak ni`! insiden terjerit-jerit bila balik ngaji sebab kena kejar anjing kekal menjadi rutin 3-4 tahun mendatang selagi tak habis mengaji lagi.. 

dah umur matang ni, baru terfikir, Allah datangkan anjing untuk kami ketika itu sebagai pengajaran, kena haqqul yakin bila beramal. ini tidak,mulut baca tapi hati mempertikai keberkesanan ayat Allah, memang la padan muka bila tak berkesan.lagi satu, berharganya pengalaman, susahnya menuntut ilmu mengaji. semoga guru dan keluarganya dirahmati Allah. semoga Allah ampunkan dosa arwah emak,dan tempatkan beliau dalam syurgaNya kerana dalam buta hurufnya, begitu komited dia menggalakkan kami mengaji sehingga setiap kali naik juz baru, mak akan buat kuih untuk di makan sama-sama di rumah tuan guru.......

ANEKDOT 2:AKU,MAIKEL DAN KEMANUSIAAN

kisah berlaku sekitar tahun 2000. menyewa di sebuah taman perumahan di senai.alamat,rahsia , sebab nanti sibuk pula kau tanya siapa yang terlibat. sibuk tau. sekadar tahu cerita sudah. ambil pengajarannya.

sebelah kanan rumah aku, ada brother tu suka bela kucing. sebelah kiri, tah rumah siapa sebab masa aku pindah, orangnya dah tak ada. mungkin beli rumah lain kut. bila tak ada tu, pagarnya pula tak berkunci,jadi apa pun boleh keluar masuk depan laman rumah tu.

aku perasan ada seekor anjing yang tua dan kurus selalu merayau dan berlegar kat rumah tu. belas aku melihatnya, tentu tuannya tak bawa pindah. maikel aku beri nama anjing tu, sebab masa tu aku bela kucing yang ada nama cantik-cantik. potet, ika,udel,cek net....maikel sangat setia, selalu balik rumah tuan dia, duduk,tidur,jalan dengan perut yang kempis. kalau kami berpapasan, matanya tampak sayu dan sedih,seolah katanya`puan,tolonglah saya, lapar....`. aku sekadar mampu berdoa agar maikel dapat cari makan.

yang sadisnya, brother sebelah kanan  tu benci sangat dengan maikel. selalu marah-marah maikel yg suka lalu lalang depan rumah kami. maikel pun satu, dah tahu orang tak suka lalu lah juga. brother tu selalu perambat maikel sampai rumah tinggal tu dan kunci pagar. aku kesian kat maikel,sayu aje si maikel tu terkurung. bila ada peluang, brother tu pegi kerja, cepat-cepat aku buka pintu pagar suruh maikel keluar.

drama kunci dan lepaskan maikel berlangsung banyak kali. satu hari, aku kesian sangat kat maikel aku curi-curi baling friskies milik kucing aku untuk maikel makan. aku tuang air dari tepi pagar batu yang memisahkan rumah kami. entah dapat minum entah tidak  sebab aku main curah saja, tak berani bagi bekas takut brother tu syak aku yg  kasi lepas maikel. sampai sekarang walau aku dah pindah ke tempat yang indah, aku masih sebak ingat kesetiaan maikel pada tuan yang habis madu sepah dibuang tu, dan kekejaman brother tu kurung maikel sampai lapar.  ..ingatlah kawan, satu hari di mana semua mahkluk meminta keadilan ke atas apa yang berlaku  dan dilakukan pada mereka. hatta dia cuma seekor anjing tua.

ANEKDOT 3: AKU,JR 8504 DAN KAWANAN ANJING 

KISAH berlaku tatkala sekolah menengah. tingkatan 3,bawa motor honda cup mak belikan. asal boleh aje la motor tu jalan,aku lenjan aje. tak lawa mana pun,model 70-an barangkali. ah,tak kisahlah.bersyukurlah dapat motor. pada jijah tu, naik basikal sampai tingkatan 5.hehe.

balik sekolah, sampai pt hj. ariff,ada rumah apek dekat simpang jalan tu. tak aku sangka-sangka,sedang layan blues memikirkan apa entah, aku tak perasan entah datang dari mana sekumpulan anjing berdedai-dedai macam nak melintas gitu. sesuka hati aje,bukan kisahkan aku dan motor honda ni, main lari-lari lah pulak depan aku. dek terperanjat,tak sempat brek, apa lagi....`gedegannggg! aku terlanggar anjing. patutnya anjing-anjing tu yang penyek,tapi rupanya aku yang terduduk dengan motor aku elok tersembam ke tanah. anjing-anjing tu pulak macam tak ada perasaan bersalah,selamba aje meneruskan aktiviti berlari gembira di tengah hari buta..

aku  nak kata apa, bangun ajelah kontrol ayu. nasib baik tak ada sesiapa lalu,kalau tak malunya,diva kampung terduduk sebab langgar anjing.
moralnya,jangan berangan masa naik motor,nanti anjing pedajal kita!

ANEKDOT 4:` CIKGU, TOLONG LUKIS ANJING!`

satu kegemaran aku mengisi masa terluang ialah melukis sambil jual lukisan tu. lazimnya buat kad ucapan/motivasi dan pelanggan boleh request nak gambar apa. semua benda selalunya tak berat permintaan mereka untuk aku tunaikan,tapi ada sorang pelanggan ni, Qing Ning, 5 sn 2 2011. boleh dimintanya gambar anjing untuk aku lukis..aku keberatan,dia tanya `kenapa?`....entahlah, tapi tak sampai hati nak menghampakan. kubuatkan juga,dengan kata-kata `ni saya lukis untuk awak sorang, awak first,awak last! Qing ning berteka teki,tapi aku senyum saja. tak ada apa pun sebenarnya, cuma aku tak minat nak lukis anjing sebagai subject matter!



 inilah gambar yang aku buat untuk dia.tah nak bagi sapa tak tahu lah. kat mana qing ning sekarang,.dah besar agaknya.

ANEKDOT 5: KURANG AJAR

kisah masa mengajar di senai. sesi petang kelas hujung. panas. dan menyiksa jiwa. di sinilah punca pertama aku dapat high blood presure. kesabaran saja buat aku bertahan. satu hari,dengan gigihnya aku melangkah ke kelas tingkatan 2. budak dah tah macam apa.tak terkawal.terpekik terlolong. sampai pintu, aku terpempan. ada tulisan besar-besar,guna marker permanent dengan bangganya pemberi tahuan ditulis ~CIKGU DAN ANJING DILARANG MASUK!`

aku terasa sangat.tak tahu siapa menulis, ditujukan untuk cikgu siapa dan apa tujuannya, bagiku itu satu tanda kebiadaban melampau.aku hanya mampu berdoa semoga tiada dalam kalangan keluarga dan rakan taulanku mempunyai anak yang berani benar menulis begitu. sebuah manifestasi kebodohan.

ANEKDOT 6:ANJING,SYAITAN DAN AZAN

bila berpindah ke BP, aku sangat selesa di sini..segalanya mendamaikan selain jem teruk pagi-pagi nak pergi kerja. tapi bila di rumah,aku rasa sangat tenang dan sejuk hariku. jiran kiri kanan alhamdulillah, baik hati. langkau 3 rumah, ada auntie tu bela anjing yang sangat peramah. pantang apa lalu semua nak disalaknya. 

kadang aku tengok dia mengurat anjing yang lalu lalang. kesian,batin tersiksa kut sebab asyik kena kurung  di rumah saja. kadang suaranya  buat aku sakit kepala, bunyi tak berhenti-henti. tapi masih boleh kuterima berbanding bunyi orang berkaraoke di majlis kahwin masyarakat melayu sekarang. rasa nak terkeluar otak disengat muzik berdentum dentam. tak tahu kenapa budaya ini dah jadi semacam kewajipan pula setiap kali ada majlis kahwin. mia kalau kahwin besok besar takdelah mak nak buat karaoke bagai ni nak. bukak radio,sudah. 

anjing jiran ni kadang bagus juga. dek terlalu prihatin, apa saja objek mencurigakan yang dia nampak,dia berbunyi lah. rasa selamat juga kut ada pencuri di kawasan kami ni, mesti fikir banyak kali nak masuk rumah sapa-sapa kerana penggera ni menggila sungguh bunyinya.

cuma satu perkara yang aku perasan, dan menjadi misteri hingga kini dalam ruang akalku. setiap kali masuk waktu subuh, azan subuh yang syahdu berkumandang dengan jelas. dan anjing ini, setiap kali,tanpa mungkir sepanjang yang aku perasan akan seolah menyahut seruan azan dengan sayu. setiap patah lafaz azan akan disambutnya dengan salakan yang mendayu, dan panjang.  aku jadi malu kadangkala kerana dia hanya seekor anjing, tapi bangun awal dan menyahut seruan azan dengan takzim dan rutin.

atau, mungkinkah dia ternampak syaitan yang lari bertempiaran ketika azan sedang dilaungkan. maklumlah, dulu boleh tahan juga cerita-cerita angker di daerah perumahan aku ini. antaranya termasuklah jiran aku yang isterinya terkesima tatkala siram bunga malam buta, ternampak seorang perempuan berbaju putih melintas depan rumah dan terus berjalan lalu hinggap di tangki air besar hujung jalan sana!

entahlah. semuanya berkemungkinan. sekurang-kurangnya, walaupun cuma anjing, kamu tak perlu risau sebab tidak ada neraka disediakan untuk kamu, berbanding aku,manusia... 
----------------------------------------------------------------------

tamat sudah sedikit kisah antara aku dan sesuatu berkaitan anjing. pandangan hidup ini melalui jalan yang tak sama. hakikat, makrifat,syariat,semua lain cara memandang sesuatu. semoga kita tak mempermudah setiap suruh dan larangan Allah tapi jangan pula kita terlajak menghukum seseorang atau sesuatu kerana hakikat dilihat tak sama kalau ditenung makrifat!

Selasa, 21 Oktober 2014

ANJING:HAKIKAT , SYARIAT,MAKRIFAT DAN MEMOIR SEORANG AKU (part 1)

21/10/2014.  9.38 MALAM. SELASA

sekarang sedang hangat diperkatakan isu pegang anjing di sana-sini. maka macam-macamlah pendapat bertebaran di maya sama ada berlandaskan fakta atau emosi mahupun kepala lutut.  aku terpanggil untuk menulis kerana aku seorang perakam cerita. ada cerita dan ada pendapat yang aku ingin kongsikan. terpulang untuk kau kawan, membacanya atau tidak,bersetuju atau tidak,suka atau tidak. cuma aku mohon andai yang ku tulis satu fakta, terima dengan hati terbuka. andai tulisan itu datang dari sesedap rasa, abaikan saja. dan ada kenangan antara aku dan anjing ini,sepanjang kehidupan yang Tuhan izinkan ini,selama 40 tahun 8 hari ini.

pandanganku, sebagai orang awam dan bukan seorang ustazah pula pertama sekali,kita tak perlu melatah atas apa saja isu yang timbul. bila sudah jelas pokok pangkalnya baru turut serta dalam perbincangan atau perdebatan atau apa saja yang perlu dikongsi melalui FB . kenapa FB?sebab melalui FB paling cepat menjadikan sesuatu isu itu viral dan cukup kontroversi.

aku mudahkan cerita. supaya jelas kawan, sejujurnya sudah terang lagi bersuluh bahawa Islam itu indah,dan mudah. tapi jangan dipermudah-mudahkan. tak pernah sekalipun aku terdengar atau terjumpa dalam ajaran agama ini menyuruh kita penganut islam  memandang hina dan jijik pada anjing,sebab dia anjing. apa lagi menyepak terajang atau menyakiti anjing tanpa sebab yang munasabah.TAPI tak pernah pula kudengar galakan untuk saja-saja membela sebagai `pets` dalam rumah macam bela kucing,peluk cium sesuka hati dan bergomol-gomol macam main teddy bear! Allah yang buat sebesar-besar alam, sekecil-kecil atom,manusia, kuman ,anjing, syaitan dan semuanya di alam ini sudah beri garis panduan untuk penganut islam bagaimana bersikap dengan mahkluk ini. Dia maha tahu kenapa kita tak boleh suka-suka sentuh atau bergomol dengan anjing sebab Dia yang cipta binatang ni. kenapa nak banyak soal-soil pula.  ada perkara yang Allah tahu tapi tak terjangkau akal manusia untuk berfikir ke sana,kenapa penat-penat nak fikir `APA FASAL TAK BOLEH PEGANG ANJING HA?`

kawan, 
kita ini keliru dengan sesuatu kerana kita malas nak cari ilmu. ilmu Allah ni luas, makin diteroka makin tak terdaya mengejarnya. betullah kita tak boleh suka-suka sentuh anjing tanpa sebab, tapi ada banyak keadaan tak perlu takut untuk menyentuhnya. ketika bila? ketika nak selamatkan nyawa anjing tu, atau untuk tujuan  perubatan (contohnya doktor haiwan), kita boleh bela ketika perlukannya sebagai gembala haiwan ternakan, bawa berburu,menjaga kebun dan sebagainya untuk tujuan keselamatan.memetik kata-kata seorang ustaz dalam blognya (Dr Maza) menulis:
.............................................................................................................................................
 


Bolehkah Muslim Memegang Anjing?
Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.
Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
anjing_jilat
Memelihara Anjing Dalam Rumah
Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.



Islam Benci Anjing?
Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?
Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.

Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

.........................................................................

aku sependapat dengan penulisan ustaz ini.  dan  untuk kucoretkan pengalaman tentang kisah aku dan anjing, rasanya perlu part 2 pula entry kali ni. panjang sangat! hah.

Jumaat, 17 Oktober 2014

Bila Tuhan Berkehendak.....

16/10/2014
11.28 malam

 tulisan ini kudedikasikan buat  sahabat seperjuanganku,Astanty.
belasungkawa untukmu, sesungguhnya berpulangnya arwah suamimu Cikgu Bahrin adalah rencana Ilahi kerana Dia begitu mengasihi dia,kau dan Haris serta keluargamu seluruhnya.

aku mengabadikan coretan ini bukan untuk menyambung nestapamu sahabat, tetapi agar kita mampu menjadikannya sebuah penawar kedukaan tatkala badai masih menghempas dalam jiwa apabila Tuhan mengambil sebahagian dari kehidupan kita.

aku bercakap sebagai sahabat yang baru juga kehilangan, kehilangan 2 orang terpenting menghadirkan aku ke dunia ini, ayah dan bondaku, dalam tahun belasungkawa kita ini, tempoh masa keduanya pergi dariku tak sampai 3 bulan. betapa kehilangan yang berturut-turut itu sebenarnya membekas trauma dalam jiwaku. Cuma aku tak pamerkannya kerana berlarut-larut dalam kesedihan hanya membuat aku sakit.aku percaya almarhum dan almarhumah orang tuaku lebih mendamba doaku dari airmata sedihku,jadi kuhadiahi saja mereka setiap hari dengan ingatan doa setulus hati.

begitu juga kau tanty, tabahlah. apa yang kita bicarakan, apa yang kita khawatirkan akhirnya terjadi juga dan sudah tercatat di azali kau mengalaminya lebih dahulu dari aku.kematian, satu perkara yang merentap kesemuanya mungkin dari fizik kita,tapi tidak dalam hati dan jiwa kita.kematian, sangat taboo bagi sesetengah orang untuk berkisah tentangnya, tapi tidak bagi kita kan tanty,cuma adatlah kita tetap bersedih bila kita terpaksa menempuhnya kerana namanya juga kita ini manusia yang dibekali akal dan jiwa.

Tan,
teruskanlah ketabahanmu,yang aku banyak belajar darinya. maafkanlah jika aku tak banyak membantu di waktu sukarmu, terutama pada saat-saat genting itu tapi percayalah tan,aku bukan sekadar simpati malah turut empati,sejujurnya. panggilanmu awal pagi itu menggentarkan dan aku seolah dapat merasainya. aku ingin memelukmu seeratnya, lama-lama dan sentiasa disisimu tatkala itu tapi aku faham kau perlu melalui banyak perkara.kami, rakan-rakan seperjuanganmu dan rakan-rakan arwah sangat berterima kasih kepada jiranmu yang prihatin dan membenarkan kami mengirimkan yasin dan tahlil arwah di rumahnya.ramai antara kami yang bercucuran air mata ketika bertahlil dan aku sendiri tak mampu melafazkan bacaan, aku hanya mampu membacanya dalam hati kerana hatiku retak dan kaca itu menakung di mataku tanty. terasa-rasa kalaulah kami berada ditempatmu..ustaz juga memimpin solat jenazah di surau sekolah sebagai hadiah yang termampu kami berikan..

ku tuliskan kisah itu agar kau mengingati selamanya yang kau tidak keseorangan, penuh rumah kak azizah (kalau tak salah namanya) dengan kami,rakan-rakan non muslim termasuk Panca, Peng, Lim, orang-orang PPD dan entah siapa-siapa lagi memenuhi perkarangan rumahmu tika penghormatan terakhir itu.

nyata arwah suamimu dan engkau sendiri adalah orang baik-baik,kalau tidak mana mungkin begitu ramai yang datang dan mendoakan.tapi memang kuakui arwah suamimu orang yang baik. aku mengenalinya sebelum aku mengenali kau kan tanty. dulu aku sepanitia dengannya dalam daerah dan panitia seni ketika itu sangat menghiburkan kerana dipenuhi orang-orang seni yang baik, sporting dan ceria seperti dia. dan masih ku ingat kebaikannya yang sanggup menumpangkan aku sampai mersing pergi dan balik waktu kami berkursus di sri malaysia ,kalau tidak entahlah, mungkin tak sampai aku ke sana kerana aku tak tahu memandu lagi masa tu!

Tan,
nantinya kalau ada jodoh,ada masa inshaAllah kukotakan janji untuk ke teratakmu.ada banyak perkara yang masih perlu kita renungi dan teladani kan Tanty,sebenarnya semuanya ini peringatan untuk kita semua,terlebih lagi aku yang banyak sudah dikirimi Tuhan dengan utusan-utusanNya buat memperingatkan diri bahawa tempoh itu tak tercepat sesaat tak terlewat tapi  terus mendekat. sekurang-kurangnya, orang-orang kesayangan kita sudah bertemu kekasih kita Rabbul Jalil dan sudah tentu nasibnya, kita ini tak tahu bila dan bagaimana nantinya ya.

Tan, 
aku tamatkan di sini, usai kau membacanya aku pohon kau ingatlah, kau tidak keseorangan. persahabatan kita tak dibungai kerapnya perbualan,banyaknya pertemuan atau penuhnya keceriaan menghiasi masa senggang. kadang sebulan sekali pun payah kita nak bertemu,tapi kita juga tahu lewat senyuman saja segala yang menggentar dalam dada kadang begitu menggembirakan atau kadang pula begitu menyakitkan. hidup kita sarat betul dengan ujian. terima kasih kerana kesudianmu menadah telinga tatkala aku rasa ada ketikanya hidup ini begitu menyiksa!

Khamis, 16 Oktober 2014

mia-rindu,serindu - rindunya


7/7/2014
3.49 petang.
adik, masa mak tulis blog ni mak belum ambik adik dari sekolah. mak nak masak kejap dan terus mandi,kejap lagi kita jalan-jalan ke ioi nak tak.kesian adik, asyik ajak jalan aje. tadi bapak kata masa hantar adik ke sekolah, bila bapak pusing-pusing adik suka,ketawa-ketawa, tapi bila bapak masuk ke jalan nak pergi sekolah, adik ambik teddy bear, tutup muka, tak nak tengok jalan tu. 

bila bapak hantar adik ke teacher adik nangis sedih. kesian anak mak, adik tabah lah nak ye, lagi  3 hari mak cuti,kita boleh duduk sama-sama kat rumah,kita jalan-jalan insyaallah.

mak rasa rindu sangat dengan adik, kalau adik balik aje, nanti mak peluk-peluk adik, mak cium-cium adik sampai adik lari.tapi adik suka sangat bila sampai rumah. padahal, adik selalu tersasul panggil mak dengan bapak `teacher,teacher`..

adik sangat comel bila adik sebut perkataan yang ada huruf `L`. contohnya `jalan`,bilon, bola, tolon,.....
paling kelakar, masa mak nak beli barang dapur kat mydeen, adik sedih bila kami usik nak hantar adik ke sekolah. adik tahu jalan nak ke sekolah naik bukit, kalau nak jalan-jalan hala ke bawah. bapak saja pandu jalan ke bukit,bapak cakap nak hantar adik sekolah, adik jerit, taknak!taknak! bapaaaaak, tolooonnn!

kami ketawakan adik,sangat lucu cara adik melafazkan ungkapan tu. adik baru nak pandai cakap, sweet sangat bila dengar adik cakap. kadang adik cakap satu apa pun mak tak faham apa, tapi mak eyakan aje sebab tak mahu adik patah jiwa.

adik belahan jiwa mak,

bila sampai mydeen,adik bosan bapak lama sangat berbual dengan kawan dia, adik duduk troli, muka tangkup kat palang buat-buat tidur. lepastu bila beratur lama sangat adik dah bosan, mak turunkan adik, mulalah adik jalan-jalan macam mandur, tangan dua-dua silang kat belakang, adik check barang-barang, adik belek-belek febreeze, adik betul-betul macam supervisor!

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

bila duduk rumah, kalau dengar azan, adik suruh semua diam.adik kata `syihhh`,letak telunjuk kat mulut. lepastu, bila nampak bapak atau mak nak solat, adik cari sejadah dan ambil tudung polkadot mak, adik nak solat sama-sama. adik pandai takbiratul ihram dan terus sujud, tapi mak takut masa sujud tu adik tergolek sebab adik tak bengkokkan kaki!
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
16/10/2014
entri di atas dah 3 bulan mak peram,malam ni berkesempatan nak update dan banyak perkara terutama kepetahan adik semakin bertambah!
adik tidur cuma pakai lampin saja.baju dan seluar adik buka,konon-konon adik demam sambil pegang-pegang badan sendiri. sambil melentik-lentik kat badan mak yang macam bantal buat adik ni,tiba-tiba adik cakap "mia lapo,mia lapo!"

aduhai lah anak, petang tadi dah makan mihun sup, masa mak makan nasi adik makan juga,malam ni adik kata "lapo" lagi?
mak terus pergi dapur, ambil 3 epal hijau, mak buat jus,campur sikit saja gula. dalam kegelapan ruang tamu sebab kalau lampu terang sampai ke pagi lah gamaknya adik tak tidur, kita menghirup jus epal dalam mug putih yang berat tu. 

adik kata, 'em,macam...macam (masam) tapi adik minum juga. kita senyum sama-sama kerana dapat isi perut kita yang lapar dengan epal yang segar,alhamdulillah kan dik. lepas tu adik baring, layan blues dan mak tepuk-tepuk badan adik, adik kata 'tipi,tipi..tipi..' adik tak suka kena tepuk malam ni. mak biarkan adik tertidur sendiri dan mak ambil kesempatan untuk menulis di sini. lain kali mak tulis lagi dik ye, untuk kenangan adik bila mak dah tak ada lagi di dunia ni,semoga melalui coretan emak dapat adik rasakan betapa cintanya emak pada adik seorang.

sayang daripada emak..
emak........11.04 malam


ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com