tulisan ini untuk mengingatkan aku, dan kau ,kawan yang suka baca tulisanku.
semoga aku terhindar dari penyakit hati ketika menulis entri ini.
apa erti sederhana padamu?
bagi aku, sederhana ialah berbuat sesuatu mengikut kemampuan, tidak berlebih-lebihan dalam semua perbuatan dan apa saja tindak-tanduk kita.
susah, sangat susah untuk bersederhana. ada orang kata, kesederhanaan itu datang kalau kita diberi pengajaran. tapi pengajaran yang bagaimana?adakah kesusahan yang amat dalam satu fasa dari hidupmu mampu membuat kau besederhana bila kau dah senang?
berapa ramai orang yang susah, dia lupa diri bila dah senang?
berapa ramai orang yang tak pernah susah, hidup seadanya kerana memikirkan ramai orang susah dan telanjang?
berapa ramai pula orang yang pernah susah, bila dah senang tak ingat kepada orang yang susah macam dirinya satu masa dulu?
ampun kawan, kalau ada tulisanku kemudian ini menyinggungmu, atau kau rasa aku ujub dengan diriku sendiri. segalanya terlintas ketika pagi tadi aku sempat bicara dengan kiah, anak muridku yang ku sayang.
`dah buat baju raya , kiah?`
`em, mak saya buat baju cikgu..`
`penting ke baju raya bagi kamu?`
`penting la cikgu,kan raya. kan sunat pakai baju baru.` Amalina mencelah.
`cikgu, dah buat baju raya?`
`saya tak rasa baju raya penting untuk saya.`
aku tersenyum. kiah pun. amalina juga.
yang nyatanya, aku sebenarnya memang tak kisah sangat tentang yang namanya baju raya. apa adanya aku pakai. hubby juga. seingat aku baju melayunya itu dah 4 tahun, masih baju yang sama. tak pula aku rasa macam orang fakir miskin bila tak pakai baju raya pada pagi raya.
lain orang, lain tafsirannya pada hidup ini. bagi aku, entahlah. apa yang aku jadi sekarang ini mungkin kerana aku dan hubby sudah tercanai dengan kesusahan sejak sekian lama.menjadikan aku lali dengan apa yang namanya perhiasan diri, perhiasan dunia dan segala yang sinonim dengannya.
memang ada barang tertentu aku akan beli dengan harga yang mahal. terutama kasut dan beg. tapi kawan, aku gunakannya selagi hayatnya ada. kasut itu aku bawa ke sekolah, ke pusat beli-belah, berjalan-jalan hatta balik kampung! dan dengan lasaknya kasut tu,menampung badan aku yang comel ini, perlu aku beli yang betul-betul tahan lama. memang mahal tapi aku gunakannya dah masuk tahun ke 3. lebih baik daripada aku beli kasut murah tapi tak sampai sebulan aku kena beli yang baru.
begitu juga beg. ke mana saja aku pergi, beg inilah yang aku usung.mengelakkannya cepat putus atau koyak, maka aku beli yang agak mahal. tapi kawan, sudah 3 tahun aku tak tukarnya.
tentang yang lain-lain, aku rasa elok aku besederhana saja. baju, selagi aku tak jemu, belum koyak dan belum banyak menyusahkan aku dengan terpaksa repair sana-sini, aku akan pakai.langsir rumah aku, tak pernah aku ganti semata-mata kerana raya sejak 7 tahun lalu. bagi aku asal tak buruk dan tak koyak, okey saja.
kecuali buku, aku tak kisah berhabis sikit. kerana aku rasa tak ada ruginya aku berhabis untuk membaca sebab ilmulah yang bakal menyelamatkan hidupku di dunia dan akhirat. bukulah yang menyeimbangkan otak kananku dengan mendalamkan sifat kemanusiaan . bukulah teman aku kalau aku lupa, bukulah temanku kalau aku buta.
tapi bagi orang mungkin hobi aku ini satu pembaziran. baik beli baju atau perhiasan atau apa saja selain buku.entahlah, pendapat masing-masing kan.
kawan, kadang-kadang tanpa kita sedar kita `ter` ujub, riak dan takbur dengan apa yang kita ada. percaya tak?bukan niat kita, tapi itulah permainan syaitan.
kita tak perasan pun kita begitu sebab asalnya tiada niat sebegitu. tapi kawan, syaitan itu pandai menipu daya. sementelah ruang untuk mempamerkan segala apa yang kita ada terutama hal kebendaan atau harta dunia begitu luas, makin mudah dia menjerumus kita ke arah penyakit hati.kau tahu ruang apa?
FACEBOOK.
itulah ruangnya kau berkongsi kegembiraan, berkongsi pengalaman dan berkongsi apa yang kau ada. disitulah kau dapat ruang bertemu kawan lama kau sambil bertanya khabar.sambil juga tunjuk gambar kau dengan motor harley davidson, atau BMW mata belalang hantu,atau kipas-kipas duit yang kau dapat dari program haram infinity downline contohnya.
di situlah ruang kau nak cerita tentang kurniaan suami kau yang kaya raya lagi budiman tentang percutian kau di syurga dunia tak terusik kat kepulauan Mauritus paling selatan, intan permata yang kurang seringgit saja menyamai cincin kontroversi RM74 juta,gadget-gatget terbaharu telefon bimbit, tv led 78 inci, rumah 3 tingkat bertiang roman ala zaman renaisance dan apa benda mak nenek lagilah, pokoknya harta benda.
tapi kita sampaikannya dalam nada tak sengaja, tercerita, dan seolah-olah macam tak ada niat pun nak cerita tentang tu. kawan, tapi orang lain tertangkap juga kilasan ikan di air. kalau yang melihat itu tidak mampu, bakal menimbulkan iri hati. kalau yang melihat itu mampu, bakal menimbulkan benci.kalau yang melihat itu sangat mampu, melebihi kemampuan kita itu, akan menimbulkan caci. `ah, macam bagus, aku boleh dapat lebih kalau aku nak`.mungkin itu kata hatinya.
jadilah facebook ruang silaturrahim asalnya kepada ruang perang saraf akhirnya.kawan, ketahuilah, akibat perbuatan kita itu memberi kesan yang berangkai-rangkai kepada banyak orang.sebabnya tahap pemikiran manusia ini tak sama. yang positif, tak ada masalah. yang berpandangan negatif, macamana?
kawan.
aku rasa jalan paling selamat ialah besederhana.kau tahu kau mampu, tapi kau tahu perkara itu tak perlu. tak perlu beli, tak perlu ambil, tak perlu simpan, tak perlu tunjuk, tak perlu cerita!maka jadilah kau sebaik-baik umat kerana menghindari segala punca mazmumah, dan mengelakkan manusia lain dari nafsu ammarah.
kawan, sebenarnya perkataan `kau` itu tak tepat. sepatutnya aku menulisnya sebagai `kau` dan `aku`sekaligus.
.sebelum aku berakhir, mari hadamkan bait lagu ini, agar ramadhan ini bererti buat kau dan aku.
apa yang ada jarang disyukuri
apa yang tiada sering dirisaukan
nikmat yang di kecap baru kan terasa bila hilang
apa yang diburu
timbul rasa jemu
bila sudah didalam genggaman
dunia ibarat air laut diminum hanya menambah haus
nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
panas yang membahang di sangka air
dunia dan nafsu bagai bayang -bayang
dilihat ada, ditangkap hilang
Tuhan leraikanlah dunia yang mendiam di dalam hatiku
kerana di situ tidak ku mampu
mengumpul dua cinta
hanya cintamu kuharap tumbuh
dibajai bangkai dunia yang kubunuh.
Khamis, 11 Ogos 2011
Tuhan, limpahkanlah aku rasa sederhana.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan