Terdapat ralat dalam alat ini

Isnin, 24 November 2014

MEMOIR AKU SEORANG CIKGU(PART 14)


GAMBAR KENANGAN DENGAN KAK ZILA,KAK NING,INN DAN AKU    







ISNIN. 1.55 PAGI 24112014

kak najah,kali ini aku ingin berbual denganmu,walau tanpa suara tapi lebih bererti kerana kau sedang membaca suara hatiku.  bererti benar cuti sekolah kan kak, inilah masanya aku menajamkan kembali akal dan hati serta penulisan melalui coretan-coretan pengalaman yang sebahagiannya,kita lakar bersama.


seringnya bila ada cikgu baru posting dan dari Upsi,aku galak bertanya itu ini. tentang surau pak aris,dan pak aris sendiri,tentang taman astakona, tentang blok kapten yazid,tentang blok ahmad bakhtiar,tentang abuya, tentang rumah berhantu R.o winsted..dan semuanya,semuanya. malangnya,tak banyak yang mereka dapat katakan kerana sebahagian besarnya sudah tidak ada lagi. kau ingat pak aris kak?yang setia ke sana sini dengan kamera yang khabarnya berian Tun Ghafar Baba,akan memotret segalanya. berbasikal dan bersongkok lusuh, sosoknya agak misteri bagi kita tapi pada zaman yang tiada kemajuan teknologi kamera dan telefon bimbit itu, pak arislah yang kita harapkan untuk dapat gambar kenangan. 

nanti,beliau akan tebarkan gambar yang diambil atas meja dewan makan,berebut-rebut kita nak tengok,paling penting yang bermain di fikiran ialah `ada ke gambar aku?`  mujur-mujur pak aris tertangkap gambar kita.  hmmm,tapi tak ada yang tahu rupanya siapa pak aris. mungkin dia jadi legenda saja sekarang ini.

kak najah, kau ingat tentang pekan Tanjung Malim? segar lagi dalam mata fikirku ini kak najah,koboinya pekan itu. yang ada cuma kedai-kedai tua, supermarket paling hebat cuma angsoka,pasar malamnya barang murah,ada rel kereta api di depan kedai abuya.abuya,masih kuingat lagi kamilah pelanggan tetapnya untuk beli lauk pauk.nasi masak sendiri.langkah penjimatan. lauk sedapnya ialah telur masak lemak cili api. nanti beramai-ramailah kami makan nasi dalam bilik aku dan kak rozilina yang jadi markas berkumpulnya kami. tak ada yang begitu istimewa di sana, 20 tahun dulu. tapi kini bukan saja berubah,tapi mungkin banyak yang indah.bagaimanapun, aku tetap bernostalgik dengan kedamaian pagi diselimuti kabus dan keheningan suasana itu seakan baru semalam berlalu.

kak,sebenarnya setelah 20 tahun berlalu,aku mendapat pengajaran bahawa bukan sangat ilmu pengetahuan yang kita belajar itu memandaikan kita tetapi ilmu berdepan dengan manusia,pengalaman,kesilapan,kebodohan,kekuatan dan keterasingan jauh dari keluarga itu yang benar-benar buat aku mendewasa. betapa Tuhan membuatkan aku bertemu orang yang salah agar aku memilih orang yang betul. betapa aku dikelilingi ramai orang yang sifatnya pelbagai agar aku bersikap dengan lebih pandai. aku masih terbayang ketika kita berdiri di beranda ahmad bakhtiar, bicara tentang langit biru yang kita lihat,dan ceritamu tentang keajaiban lukisan dari langit yang sering ditidak-tidakkan oleh orang,nyata kau alami dengan penuh ketakjuban tentang kebesaran Ilahi. hatiku puas kak,sekurang-kurangnya aku tahu amaran Tuhan itu benar,kaedahnya saja macam-macam.cuma yang bertuah saja membaca dan memikirnya melalui mata hati.

semuanya tinggal memori.aku ini penyimpan orangnya. kenangan yang tersimpan jelas di fikiran. tapi kini mungkin aku banyak menyendiri. kalau tidak dimulai,jarang aku memulai.kerana aku selalu silap dalam membawa diri. awal-awal dulu, ada juga cuba ku berhubung dengan mantan rakan-rakan seIPSI. kusangka tak berubah, tapi seolah sapaan ini mengganggu dan memberi susah. sudahnya aku diam-diam saja,kecuali kalau dimulai. macam engkau,aku tahu kau sudi bersilaturrahmi jadi aku teruskan saja. jauh di sudut hati ini, aku yang ini masih aku yang 20 tahun lalu dalam menyimpan persahabatan,tak tahu pula hati budi orang.aku dulu selalu teringat-ingat akan kalian,mujur ada FB,aku gembira mengetahui perkembangan masing-masing. rata-rata semakin gembira dan bahagia, Alhamdulillah. kehidupan ini cantik aturannya. Tuhan dah jadikan begitu kan kak.

Tuhan mengaturkan hidupku untuk menyiapkan aku menjadi kuat hari demi hari. aku mengajar di sekolah menengah kak, yang entah mana tempatnya. tak ada seorangpun kawan sekampus,jadi hari pertama lapor diri,aku bawa 3 helai baju, 1 seterika dan mak aku bekalkan RM100. aku tumpang bas kilang yang selalu bawa aku cari rezeki masa menganggur tunggu kerja,kebetulan pekan senai tu lah tempatnya. masuk sekolah pagi,kena mengajar sebelah petang. petang datang lagi,terperanjat aku kak, di sambut dengan peristiwa polis mengiring berpuluh pelajar yang bergaduh ke balai ,ada yang siap bergari!

berdebar hatiku kak. hidup diteruskan,aku insan terpilih mengajar anak-anak pelbagai bangsa,latar keluarga juga budaya serta agama.ada kelas yang baik sangat,mudah nak dibentuk,ada juga pelajar dari kelas yang kurang kasih sayang,yang macam-macam perangainya hingga cukup menjengkelkan. tak sampai setahun,aku sering sakit kepala.rupanya bila jumpa doktor beliau beriku satu kata keramat `awak mengidap darah tinggi!`
stress sungguh kak. mujur hubungan dengan rakan sekerja sangat akrab dan ini menyelamatkanku dari terus jadi gila. kalau kau nak baca banyak pengalamanku, cari saja yang tajuknya memoir aku seorang cikgu.dari part 1 sampai 13,semua aku catatkan sebagai kenangan dan pengajaran dalam hidup.

kenapa aku terfikir untuk sambung belajar?  kau bayangkan kak.setiap kali isi borang prestasi,aku rasa sungguh rendah diri sebab borang cikgu ijazah lain,borang cikgu maktab warna lain. aku sekolah menengah kak, mana ada cikgu baru yang sijil saja, cuma aku. lainlah otai,tak apa. aku malu,dan aku berazam untuk meningkatkan diri untuk memuliakan martabatku sendiri. bukankah tuhan berjanji untuk menaikkan martabat orang berilmu.

7 tahun berlalu, aku dapat sambung belajar di Uitm. aku ambil  art and design .sebab jiwa aku dekat dengan seni. macam-macam juga dugaannya, ada satu tahap tu aku tak mampu nak meneruskan,sampai aku rasa nak patah balik. tak ramai yang tahu apa aku hadapi,seorang dua saja. Tuhan mengujiku,sakit sungguh rasanya,kalau aku toleh semula serasa tak sanggup untuk aku mengulanginya.Tapi dugaan demi dugaan itu buat aku kuat,buat aku semakin yakin yang Allah sayangkan aku,Dia memilihku kerana Dia tahu aku boleh melepasinya.


skroll di atas tu aku dapat dengan air mata demi air mata. tak tertanggungkan kak,tak tertanggungkan. tapi benarlah kata orang,pahit akan manis akhirnya. benar juga kata seorang kawanku, ijazah,master atau phd itu bukan untuk orang yang pandai saja, terlebih lagi sebenarnya ia untuk orang yang TABAH!

ketabahan dan kesabaranlah yang buat kita bertahan sepanjang proses belajar.patut pun Allah akan beri mahligai indah di syurga buat orang sabar,sebab sabar itu mudah diungkap,sukar dilaksana.

walaupun akhirnya bila aku mengajar semula,aku tak mengajar psv,tapi aku tahu ilmu atau skill yang aku belajar itu adalah untuk maksud lain barangkali. cukuplah aku nyatakan padamu kak, saat-saat getir, skill ini jadi penyelamat sebab aku boleh buat side income dengannya.

haritu ,Allah beri peluang kepadaku untuk memperkukuh nama. dapat aku peluang menyertai pameran apresiasi seni kebangsaan anjuran muzium kedah. sekurang-kurangnya, masuk katalog juga nama aku!haha.

kak, banyak yang ditulis,tapi dah mengantuk pula mata ni. esok-esok kita sambung lagi ye.

1 comments:

Najah abdul jalil berkata...

Akhirnya....aku jumpa gak cerita ko ni....nasib baik ko ingat citer lukusan di langit tu...sejak tu...setiap kali aku cerita pd org lain , mesti x boleh habes..ayik terbatuk2..mcm ada halangan..Bila aku sendiri terkadang tersasar...gambaran itu muncul kembali utk menginsafkan aku...

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com