Ahad, 21 Mac 2010

kita minta apa yang kita mahu, Allah beri apa yang kita perlu!

sebenarnya kata-kata itu aku petik daripada entri saifulislam, terima kasih kerana kekal dengan bahasa yang indah-indah dalam menulis.


sebenarnya mataku tak mahu terpejam. imsomnia ke aku ni. parahlah kalau begini gayanya sampai esok. masalahnya aku akan pening kepala kalau tak cukup tidur. lagi sekarang hubby belum sampai rumah. out station sampai kl, dari subuh tadi ni dah dekat nak subuh semula masih di mana suamiku. ya Allah, selamatkan perjalanannya.
aku merayau-rayau dalam facebook. hmm ramai juga kawan lama yang dapat ku jejak. `kawan` yang tak mahu terjumpa pun ada juga. oh, biarlah nostalgia itu berlalu. segalanya menjadi kenangan dan pengajaran .Ya tuhan, bila ku renung kembali perjalanan hidup ini, sebenarnya terlalu banyak mahuku. tapi Kau selalu menyantuni aku, memberikan aku apa yang aku perlu saja. tidak lebih dan tidak kurang. cuma aku yang masih kurang ajar, meminta yang macam-macam sedangkan permintaanMu agar aku mengingatiMu sering aku lalaikan. maafkanlah aku ya Allah. jangan Kau cuba aku melebihi batas mampu dan sanggupku.

hubby

anugerah Allah yang terbaik buatku. lelaki yang menyayangi aku seadanya, tak pernah menyakiti hatiku dengan tajamnya kata-kata, menyayangi aku dengan seluhurnya walau siapa aku dan bagaimana keadaanku sekarang. aku tak tahu andai aku berdegil dengan apa yang aku `mahu` melebihi kehendak Allah tentang apa yang aku `perlu`, mungkin aku tidak sebahagia sekarang. mungkin aku rasa rendah diri dengan kekurangan. mungkin aku menangis selalu kerana orang itu bukan hubby yang tak pernah sekalipun meninggi suara padaku. tak pernah mencari salahku. tak pernah menyusahkan aku dengan urusan rumahtangga yang aku tak sempat atau letih untuk membuatnya.
bersamamu aku cukup bahagia walau kita tak sekaya orang lain. walau kita tak ada yang orang lain ada, tapi mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga ini cukup mengharukan jiwaku. terima kasih ya Allah, mengurniakan aku suami sebegini, `dan manakah lagi nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan?`(Al Quran, surah Ar-Rahman)

keluarga

aku ada mak, ayah, kak long dan adik beradik yang sangat baik,menyokong aku ketika aku susah dan senang. memang perjalanan dalam keluarga jarang yang indah-indah, pergolakan sentiasa ada, gelora selalu melanda, pertengkaran memang biasa,tapi mana ada keluarga yang sempurna? sementelah mak mungkin terlalu garang kerana tekanan hidup kami waktu kami kecil, jadi ruang untuk gembira sangat terhad buat emak.ada beberapa memori indah dulu-dulu. pernah satu ketika mak belikan aku kek hari jadi, mak gantung dekat tali tengah rumah supaya tak dimakan semut. gembiranya aku.mak buatkan baju baru masa aku nak pergi forum remaja peringkat negeri di kota tinggi. mak ubatkan kaki aku yang berkudis masa aku tengah tidur dan aku buat-buat tidur.mak, aku sayang mak sangat walau tak tahu nak ucapkannya. paling mengharukan masa aku kata tak mau sambung belajar tingkatan 6, sambil asah pisau toreh mak menangis dan bagitahu jangan berhenti sekolah. mak tak mahu anak-anak dia mewarisi kejahilan dia sebab tak sekolah kerana zaman yang susah dulu.mak selalu jadi tempat rujukan kalau aku susah dalam kewangan sedangkan sepatutnya aku yang tolong emak. oh Tuhan, ampunkan aku...

kak long sangat penyayang walau kami dah besar panjang macamni. setiap kali aku balik, macam-macam kak long masak, buat dan layan kami macam menatang minyak yang penuh. kami dapat rasakannya. begitu juga semua adik beradikku yang lain. kami tak kaya, tapi sapa yang perlu lebih dari rasa bahagia berada dalam keluarga. aku renung kembali, alangkah beruntungnya aku!
dan manakah lagi nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan?`(Al Quran, surah Ar-Rahman)

mak mertua dan keluarga

aku sangat bertuah punya mak mertua dan ayah yang sangat baik. tak pernah cerewet dan mengungkit kekuranganku. tak membezakan anak-anak yang kaya atau yang belum kaya macam kami. walhal memang ada jurang yang amat jauh antara abang dan adik beradiknya dari segi pendapatan barangkali. tapi mak cool saja. mak tak pernah aku dengar sindir atau sakitkan hati kami menantunya. aku sangat bertuah kerana tak semua orang dapat mertua macam aku. bapak lagi cool. ipar duai aku juga baik, tak sibuk hal tepi kain orang. oh, bahgia hidupku.
dan manakah lagi nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan?`(Al Quran, surah Ar-Rahman)

dan terlalu banyak keberuntungan hidupku. tak mampu ku habiskan semua. jadi ada baiknya bila aku melayarkan tangan ke ruang facebook untuk mencari kawan-kawan lama. mengetahui kehidupan mereka dari sudut pandang yang mampu ku pandang. gembira dengan kegembiraan mereka. rezeki masing-masing. aku mendapat diriku kembali walau mungkin pertama kalinya aku hilang sekejap. kecenderungan membandingkan hidup kita dengan orang lain adalah baik sekiranya kita ini berfikir positif. cari kekuatan sendiri, Allah maha baik kerana memberi kita peluang untuk menyerlah mengikut potensi.

Ya Allah, aku sangat bersyukur kerana Kau tak kabulkan semua yang aku mahu, tapi Kau beri apa yang aku perlu...Kau lebih tahu tentang aku dari diriku sendiri. terima kasih Ya Allah...

0 comments:

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com