Terdapat ralat dalam alat ini

Rabu, 18 Julai 2012

MENCUNGKIL KEMANUSIAAN


 PERINGATAN:ENTRI INI MENGGUNAKAN LARAS SANTAI,KURANG SESUAI DIGUNAKAN DALAM FORMAT PENULISAN SPM,FAHAM ANAK-ANAK?

entri kedua hari ini. waktu dah menjangkau ke pukul 11.03 malam.  dedikasi khas untuk suhaila,sebab kamu rajin mencari sesuatu di ruang saya ini. terima kasih dan tahniah andai ada butiran berlian yang boleh kamu bawa untuk jadi harta termahal dalam perbendaharaan ilmu dan falsafah hidup. dedikasi juga untuk semua anak kesayangan saya di tingkatan 4 Sains 1,2012 walau mungkin kamu tak membaca tulisan ini.  dan dedikasi juga untuk semua mantan anak murid cikgu yang pernah merasai pengalaman  `10sen` dalam kelas Bm saya.

cerita kali ini mungkin berkisar 3 kisah,denda 10sen , kisah karangan semalam dan ujian lisan kita tempoh hari..bergantung kepada ketahanan mental dan fizikal saya malam ni. esok cikgu tak mengajar kamu, ada program di bilik PPSMI. tapi tolong buat modul soalan drama  `Cempaka Berdarah` ye.Pastikan semua buat,kesungguhannya macam 2 minggu lepas sewaktu kamu semua kena marah gara-gara tidak endah untuk ULBS!

ironi betul kan suhaila (lepas ni nama kamu ela...susah nak panggil panjang-panjang.maaf,kalau cikgu guna huruf kecil untuk nama-malas nak tekan `shift` atau `caps lock`. er,apa tadi?  oh,ironi.  ironi sungguh, seorang pun tak jadi `kawan` cikgu di muka buku sedangkan kamu 40 orang kan. tak tahu sama ada kamu takut,segan atau tak sudi..tapi itulah hakikatnya. atau kamu  semua segan kerana cikgu kata cikgu akan memantau kamu melaluinya? oh, cerewet sungguh cikgu ini,macam mak-mak!

memang cikgu cerewet,kerana cikgu bukan tunggul mati yang tega membiarkan kamu semua terlepas susila. apalah guna cikgu mengajar bahasa tapi tak pandai menjadikan kamu berbudi bahasa. Saya percaya,keputusan kamu  semua dalam peperiksaan mungkin begitu memberangsangkan,saya dah nampak potensi kamu,ramai dalam kelas ini, andai mengekalkan momentum yang sama InsyaAllah boleh cemerlang.  tapi itu cikgu tak risau. yang cikgu risaukan, bagaimana akhlak kamu,jati diri kamu,agama kamu, moral kamu?dapatkah kamu semua jadi `orang baik-baik` yang cikgu impikan, macam yang disebut-sebut oleh mahkluk Utophia dalam drama tadi?

harapan saya tak terlalu ideal.biasa-biasa saja. saya nak kamu semua menjadi manusia.yang boleh dimanusiakan. yang ada nilai. yang boleh menjadikan dunia ini lebih baik dari hari ini. kamu jadi khalifah Allah yang terbaik di muka bumi.memang cikgu bising bila baju kamu  semua mencolok mata, bila rambut kamu menggerbang,bila kamu bercampur gaul macam ntah apa-apa...kalau saya sebagai guru tak menegur, siapa lagi?orang luar?jangan harap kamu nak mendengar kan?

anak-anak...
cikgu pernah menjadi murid tingkatan empat satu ketika dulu. cikgu tahu rasanya jiwa remaja. cikgu tahu rasanya betapa bosan bila asyik dibebelkan orang dewasa. cikgu tahu rasanya bila jumpa kawan-kawan,seronok tak terkata.saya pernah lakukan apa yang kamu lakukan. atas kapasiti itulah cikgu banyak mengingatkan, hati-hati dalam bersikap.kerana banyak penyesalan yang tak boleh diundurkan semula. dan menjadi belenggu jiwa sehingga kamu dewasa.  kerana sayang, cikgu tak mahu kamu lakukan kesilapan yang sama.  kadang rasanya saya ingin biarkan kamu buat silap,tidak menegur apa-apa.biar pengalaman mengajar kamu bahawa hidup ini banyak perasanya. masam,manis,pahit,tawar,sedih,lucu,benci,dendam.semua perasaan itu berbaur,dan membentuk kita menjadi siapa di suatu hari nanti.

anak-anak.....

kamu semua tahu, rasanya semalam adalah hari paling berjaya dalam hidup saya dalam mencapai objektif tersirat pengajaran saya.Selama 7 bulan ini saya tertanya-tanya,dapatkah kamu sesuatu yang saya inginkan untuk kamu genggam. ilmu akademik itu pasti,tapi ilmu kemanusiaan,bagaimana?

tapi semalam cikgu sangat gembira. penyesalan cikgu cuma satu..kenapalah cikgu tak bawa kamera,untuk merakam wajah-wajah suci kamu dalam sedu sedan keinsafan itu?
tajuk karangan semalam,berjaya mencungkil hati nurani kamu semua.betul kan? sungguh benarlah, kematian akan menjadi peringatan bagi manusia yang lupa. subjek kematian,ada kalanya menjadi perkara taboo untuk dibincangkan,tapi sebenarnya falsafah di sebalik kematian memang ada impak besar untuk kita menentukan sikap selepas itu.

tajuk semalam -Catatan Hari terakhir saya.....  sungguh mengharukan. kamu saya paksa untuk membayangkan apakah pesanan terakhir kamu kepada orang-orang tersayang yang kamu tinggalkan. hayati,bayangkan,..mula-mula timbul kekeliruan,juga kelucuan.  Tai yun Xuan tanya cikgu.`cikgu,lepas kita tulis ni kita kena bunuh diri terjun bangunan kah?`
ya Tuhan, lucu betul kamu ni. takkanlah cikgu nak mengajar kamu bunuh diri. mati sesat nanti.  maksud saya, kamu perlu meninggalkan sesuatu untuk memberitahu seseorang yang kamu tinggalkan tentang perasaan kamu.tulis dalam keadaan seolah-olah kamu tahu esok kamu akan pergi buat selamanya,dan catatan kamu perlu ikhlas dari lubuk hati,luahkan perasaan kamu untuk orang penting dalam hidup kamu!

mula-mula mungkin agak susah.lama-lama...suasana mula menjadi sunyi. ada 2 pelajar yang menangis sambil menulis. Shuhada dan Khalisa. kemudian,bertambah-dari seorang,kepada seorang yang lain. Ela, kau menangis juga kan? Pei Zhen, Shi Min, Wan Sim, Ainur..dah merambu-rambu air mata keluar. Thiyagu yang nakal tu pun nampak menyapu pelupuk matanya. Fazdli juga.  Udzir, mula-mula kata tak boleh nak luahkan perasaan,cikgu paksa juga suruh tulis..tak lama kemudian cikgu nampak matanya basah!
cuma khoo Jing Yan yang nampak `blur`. atau dia tak mahu meluahkan rasa. dia pergi ke tempat Thiyagu tapi Thiyagu tutup-tutup buku dengan tangan,tak mahu dibaca!

cikgu kira, daripada 34 orang yang hadir semalam,17 daripada kamu menumpahkan air mata ketika menulis. syabas,tak perlu baca pun cikgu tahu,kamu sudah berjaya menulis dari lubuk hati yang dalam.

tadi saya sempat baca sepintas lalu (belum semak ejaan betul-betul,baru nak lihat ide keseluruhan) beberapa karangan. memang mengharukan. saya pula rasa nak menangis. begitulah, bila keikhlasan itu datang dari hati,tulisan itu masuk ke hati. terima kasih ela, menulis dengan begitu baik. pesanan untuk cikgu tu, aduh,terharunya. setakat ni kamu tak pernah menyakitkan hati saya, jangan risau. `dakwat pen cikgu belum pernah putus-putus untuk kamu`.






ini karangan Khalisa. saya sungguh bangga dengan kamu semua, yang bersungguh menulis . Khalisa sampai 1638 patah perkataan sedangkan sepatutnya 350 patah perkataan sahaja. kamu semua yang menulis bersungguh-sungguh ini, tak rasa penat kan, kerana kamu menulis dari HATI. untuk genre penulisan ini, sebab ia lebih mirip unsur sastera, tatabahasanya ada kelonggaran sedikit. nanti perhatikanlah serba sedikit pembetulan dalam penulisan kamu semua bila cikgu pulangkan ya.




baru 22 buah buku ada di atas meja saya. selebihnya?tolong hantar, jangan fikir cikgu tak kira siapa yang hantar siapa yang culas ya!nanti cikgu merajuk lagi macam 2 minggu lepas,nak?









sebahagian muka ceria kamu hari ini. amboi,semalam bukan main monyok lagi, merambu-rambu air mata keinsafan.kan!





eh,termasuk satu gambar Ding,kerana tulisan tercantiknya dia di sini. cerita ni masuk dalam entri lain lah ya. nanti muntah pula kalau membaca terlalu banyak, kan, makcik Suzen Jane!

dah pukul 12.15 malam. esok sambung lagi, insyaAllah..

2 comments:

siti azizah Sang Pencinta berkata...

dulu cikgu kita buat macam ni tak yek? tp aku ingat cikgu bm yg paling aku suka masa sek menengah ialah aruwah cikgu ibrahim.. krn dia aku suka bahasa

Comels berkata...

cikgu berahim tu baik kan jah.tak pernah marah-marah. atau kita memang baik,sampai cikgu tak perlu marah!tapi tahun-tahun kita dulu,kelas paling nakal pun senyap sunyi kalau cikgu ngajar,kan. nak buat apa cikgu marah.saja aku buat macam ni, aku taknak mereka jadi robot yang tahu tulis,tapi tak ada rasa. biarlah lari sikit dari kebiasaan, moga ada penulis dari kalangan mereka satu hari nanti,sapa tahu kan..

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com