Terdapat ralat dalam alat ini

Selasa, 21 Oktober 2014

ANJING:HAKIKAT , SYARIAT,MAKRIFAT DAN MEMOIR SEORANG AKU (part 1)

21/10/2014.  9.38 MALAM. SELASA

sekarang sedang hangat diperkatakan isu pegang anjing di sana-sini. maka macam-macamlah pendapat bertebaran di maya sama ada berlandaskan fakta atau emosi mahupun kepala lutut.  aku terpanggil untuk menulis kerana aku seorang perakam cerita. ada cerita dan ada pendapat yang aku ingin kongsikan. terpulang untuk kau kawan, membacanya atau tidak,bersetuju atau tidak,suka atau tidak. cuma aku mohon andai yang ku tulis satu fakta, terima dengan hati terbuka. andai tulisan itu datang dari sesedap rasa, abaikan saja. dan ada kenangan antara aku dan anjing ini,sepanjang kehidupan yang Tuhan izinkan ini,selama 40 tahun 8 hari ini.

pandanganku, sebagai orang awam dan bukan seorang ustazah pula pertama sekali,kita tak perlu melatah atas apa saja isu yang timbul. bila sudah jelas pokok pangkalnya baru turut serta dalam perbincangan atau perdebatan atau apa saja yang perlu dikongsi melalui FB . kenapa FB?sebab melalui FB paling cepat menjadikan sesuatu isu itu viral dan cukup kontroversi.

aku mudahkan cerita. supaya jelas kawan, sejujurnya sudah terang lagi bersuluh bahawa Islam itu indah,dan mudah. tapi jangan dipermudah-mudahkan. tak pernah sekalipun aku terdengar atau terjumpa dalam ajaran agama ini menyuruh kita penganut islam  memandang hina dan jijik pada anjing,sebab dia anjing. apa lagi menyepak terajang atau menyakiti anjing tanpa sebab yang munasabah.TAPI tak pernah pula kudengar galakan untuk saja-saja membela sebagai `pets` dalam rumah macam bela kucing,peluk cium sesuka hati dan bergomol-gomol macam main teddy bear! Allah yang buat sebesar-besar alam, sekecil-kecil atom,manusia, kuman ,anjing, syaitan dan semuanya di alam ini sudah beri garis panduan untuk penganut islam bagaimana bersikap dengan mahkluk ini. Dia maha tahu kenapa kita tak boleh suka-suka sentuh atau bergomol dengan anjing sebab Dia yang cipta binatang ni. kenapa nak banyak soal-soil pula.  ada perkara yang Allah tahu tapi tak terjangkau akal manusia untuk berfikir ke sana,kenapa penat-penat nak fikir `APA FASAL TAK BOLEH PEGANG ANJING HA?`

kawan, 
kita ini keliru dengan sesuatu kerana kita malas nak cari ilmu. ilmu Allah ni luas, makin diteroka makin tak terdaya mengejarnya. betullah kita tak boleh suka-suka sentuh anjing tanpa sebab, tapi ada banyak keadaan tak perlu takut untuk menyentuhnya. ketika bila? ketika nak selamatkan nyawa anjing tu, atau untuk tujuan  perubatan (contohnya doktor haiwan), kita boleh bela ketika perlukannya sebagai gembala haiwan ternakan, bawa berburu,menjaga kebun dan sebagainya untuk tujuan keselamatan.memetik kata-kata seorang ustaz dalam blognya (Dr Maza) menulis:
.............................................................................................................................................
 


Bolehkah Muslim Memegang Anjing?
Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.
Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
anjing_jilat
Memelihara Anjing Dalam Rumah
Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.



Islam Benci Anjing?
Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?
Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.

Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

.........................................................................

aku sependapat dengan penulisan ustaz ini.  dan  untuk kucoretkan pengalaman tentang kisah aku dan anjing, rasanya perlu part 2 pula entry kali ni. panjang sangat! hah.

0 comments:

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com