Memaparkan catatan dengan label novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label novel. Papar semua catatan

Sabtu, 14 Disember 2013

Andrea,menulislah lagi!


ada masanya,aku senang benar bersendirian. duduk diam-diam dalam rumah,sepi dan sunyi sesunyinya.masa seolah terhenti,hati dan minda terasa begitu tenang menikmati keindahan yang namanya sunyi.

ah,tak perlu bawa aku jauh-jauh wahai abang,menikmati waktu santai-santai sendirian begini pun cukup membuat aku bahagia. dan aku tak mahu jadi beku dalam kesepian. aku ambil kembali buah tangan Andrea Hirata.penulis Layskar Pelangi yang karyanya tersohor ke merata dunia itu. bukan tabiat aku membaca sesuatu atau nonton sesuatu berulang kali. pernah,tapi tak selalu. tapi begitu suka aku membaca cerita andrea ini,kerana  Allah memberinya kekuatan bahasa yang indah,sarkastik,jujur ,menghibakan sekaligus melucukan. 

dalam 5 minit membaca, aku beberapa kali ketawa yang tak tertahan-tahan.tak sampai seminit pula,aku hampir menangis menghayati ceritanya.

setelah membaca karya-karya Andrea,hatiku semacam mati untuk membaca karya penulis lain. selalu aku bersikap tidak adil,membanding-banding kebijaksanaan mengolah cerita mereka dengan andrea. oh, ketidak adilan itu membawa markah kalah mati kepada pengkarya lainnya.  

benarlah kata orang, tulisan yang baik datang dari penulis yang baik. ku selidiki latar Andrea, ternyata hebat manusia kecil ini sehingga tulisannya mengujakan peringkat khalayak antarabangsa. Ya Tuhan, maha kaya Engkau menganugerahi sesiapa yang Engkau kehendaki,dengan apa yang Engkau kehendaki.lama juga kutunggu karya-karyanya, belum dapat ilham barangkali. 

mengongsi keterujaan ini, aku bekalkan kutubkhanah sekolahku itu dengan buku-buku Andrea. aku pernah tanya Zuraika, `dah baca buku Andrea`? ` sudah,tapi tak berapa faham lah cikgu. bahasanya barangkali berbeza dengan kita,sedikit.`  itu Zuraika,yang rajin membaca. entah bagaimana yang lain. tak mengapalah, yang penting mereka membaca,mencuba. sedikit sebanyak kebijaksanaan andrea akan teresap ke hati. dulu,masa sekolah rendah lagi aku dah baca karya sastera,Hikayat Merong Mahawangsa kak Ct punya. juga buku-buku akademik macam Actual dan Mastika, serta cerpen-cerpen atau puisi di dalamnya. sungguh, membaca itu membina kematangan berfikir dan berbahasa. juga sebagai eskapisme dari rasa yang tak tentu arah.

kadangkala, bila aku menyemak kembali daftar pinjam,oh,ada juga yang membaca buku-bukunya.baguslah,itu yang aku mahu.

aku kurang senang bila tv sering memaparkan drama yang diadaptasi dari novel. betul,ceritanya menarik. tapi, aku tak senang melihat semakin lama semakin mengada-ngada adegan yang ada. adegan mesra-mesraan atas katil, senda gurauan dengan kekasih atau tunangan,tambah lagi ditayang waktu maghrib! sama ada skrip memang berdasarkan cerita, atau ditambah-tambah supaya nampak seronoknya,tak tahulah. yang penting,aku menahan diri daripada tergila-gila drama bersiri dari tv itu. tak sanggup.

kan elok kalau produser drama terbitkan sesuatu  berdasarkan novel yang bagus-bagus,contohnya  Ramlee Awang Murshid punya karya.

koleksi RAM milik hubby. entah bila aku nak baca!
ini tidak, konflik cinta tak habis-habis. bosan. suamiku pernah bersungguh-sungguh memujuk aku meminati karya Ramlee, ada satu ketika dia begitu teruja membaca.tapi aku tak sanggup meninggalkan Andrea hirata keseorangan!

Isnin, 2 April 2012

CIKGU,BELAJAR TINGGI-TINGGI PUN MAK SAYA KATA KE DAPUR JUGA!

hari ini mengajar karangan di kelas 4Sains 1.sengaja aku minta mereka buat karangan aras ke 5 dalam soalan SPM,yang seringnya berbentuk komsas.tepatnya,kena ada keupayaan yang tinggi dalam menulis genre sastera,baru markah dapat banyak kalau mereka memilih untuk buat soalan nombor 5.

manalah tahu, dengan minat yang dipupuk sejak sekolah ini, ramai nanti boleh jadi penulis tersohor.sekarang pasaran buku semakin baik, kesedaran membaca sudah meningkat dalam kalangan masyarakat malaysia.

tajuknya berdasarkan peribahasa, `Jauh perjalanan luas pandangan, lama hidup banyak di rasa`.kemudian ku pinta mereka melakarkan pengalaman hidup sendiri sedari kecil hingga usia 16 tahun ini. pahit,manis,geram,lucu, cinta monyet, miskin,pengalaman bercuti....apa-apa sahaja yang pernah mereka lalui. mustahil dalam 16 tahun hidup tidak pernah menempuh sebarang pengalaman!

bila disuruh begitu,macam-macam perangai yang dapat aku saksikan. menggeliat,buat muncung berdepa-depa, terlentok di meja,terkebil-kebil pandang lampu,tekan-tekan kepala macam orang migrain..semua ada. tahu pun ya,bukan senang nak menulis. tapi kupaksakan juga, ada 2 masa perlu siap. masing-masing mengeluh.alahai,susah sangat kah nak mengisahkan hidup sendiri?

nazeera kata `cikgu,saya nak menangis tulis kisah hidup saya.boleh ke kalau cerita tentang kesusahan?`  `kenapa pula tak boleh?semakin kamu menjiwai tulisan kamu,semakin dalam perasaan orang yang membacanya.`aku jawap.banyak sangat mengeluhnya nazeera. banyak sangat yang menghantui fikirannya barangkali. ku katakan padanya, tiada yang boleh menentukan nasib kita kecuali diri kita. tiada siapa yang boleh menghakimi kita,kecuali kita sendiri. siapa yang memberi nilai kepada apa yang kita alami?orang boleh saja bercakap,tapi sebenarnya kita sendiri yang meletakkan nilai kita di mana. adatlah,hidup ini kalau tak menempuh payah,semakin tak bermakna sebenarnya jadi manusia.

suhaila mencelah  `ala cikgu, belajar pandai-pandai pun mak kata nanti ke dapur juga!`.  `betul. memang ke dapur,tapi  tentulah berbeza orang yang berilmu bila ke dapur dengan yang tak berilmu!`,aku menjawab agar dia tidak keliru tentang  frasa `apa guna belajar tinggi akhirnya ke dapur juga`.  anak-anak,biar cikgu huraikan.semakin tinggi ilmu kamu,semakin tinggi martabat kamu di sisi Allah dan di sisi manusia. apa salahnya belajar tinggi-tinggi,setinggi yang kamu boleh. ilmu itu bermacam bentuknya.ada yang dapat di kelas, ada yang dapat di luar.hilang ke martabat seorang doktor kalau dia ke dapur?rendah ke maruah seorang jurutera kalau dia memasak untuk keluarga?

jawabnya tentulah tidak.tetapi semakin berganda penghormatan orang kepadanya. di luar,dia menyumbang kepada masyarakat dengan kepandaiannya. merawat orang. mereka bentuk kota,kampung dan bandar raya. mengkaji flora dan fauna untuk kelestarian hidup manusia. menjadi ahli politik ternama yang  mengikut landasanNya.bila balik ke rumah dia menjaga suaminya,anak-anaknya dan seluruh keluarganya. suhaila,nazeera, ainur,syazwani,izati,dan semua kamu dalam kelas ini, dengar baik-baik.   kalau kamu berilmu,kamu 2 kali lebih hebat dan baik kalau ke dapur,tahu!

sempat juga ku baca beberapa karangan. udzir,iman,shuhada,syazwani,khalisa.   karangan Lau berkisar soal hati.menarik juga. karangan Sin ada jiwa,tentang hidup waktu kecilnya di samping datuk dan nenek di kampung. karangan Pavithra ada sedikit lucu bila dia menulis bilik bersalin sebagai bilik `persalinan`. aku tanya  `mak kamu lahirkan kamu di bilik salin baju ke?`  berderai tawa mereka.  ada yang masih dalam perenggan soalan. khoo jing yan  aku katakan akan beri 2 rotan esok kalau NILAM dan karangan tak siap kerana bercakap tak habis-habis. Thiyagu pula kata `kenangan banyak cikgu,tapi tak tahu macamana nak keluarkan`.huh, macam-macam alasan kamu ni semua.

yang penting, esok mesti hantar. siapa yang buat karangan terbaik dan mampu menyentuh hati saya,cikgu beri hadiah istimewa.  mana tahu, muncul lagi seorang Fauziah  ashari dengan Ombak Rindu (versi novel tau,bukan versi filem)  atau seorang sasterawan negara A.Samad Said dengan `Salina` atau `Daerah Zeni`.

semuanya bermula dari guru biasa,yang mengajarmu tulis baca,dan peluang mengasah minda menajam karya. cikgu tak mahu sekadar memberi ilmu,yang penting cikgu mahu beri kamu INSPIRASI!

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
design by suckmylolly.com